Pesawah tangguh tuai padi

Pesawah tangguh tuai padi, harga belian padi turun

ABDUL Rashid Yob mendakwa pesawah berterusan menjadi mangsa manipulasi pihak pengilang yang menetapkan harga belian sesuka hati.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan pengilang menurunkan harga pembelian padi secara drastik daripada RM1,700 per tan kepada antara RM1,200 hingga RM1,250 sejak semalam memberi kesan besar kepada petani terutamanya kira-kira 50 peratus lagi golo­ngan itu yang belum menuai hasil musim ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, tindakan pengilang itu adalah bukti bahawa golongan petani terus menjadi mangsa di ketika harga input pertanian, sewa serta upah penggunaan jentera kian meningkat.

Katanya, isu tersebut tidak akan timbul sekiranya kerajaan mendengar keluhan petani sebelum ini agar meningkatkan harga siling beras tempatan da­ripada RM2.60 kepada RM3.50 sekilogram.

LEGA

“Bayangkan ketika sebahagian petani sudah menarik nafas lega kerana dapat jual padi pada harga tinggi sebelum ini hingga dapat membantu menampung peningkatan kos, sebahagian lagi yang belum tuai hasil terpaksa tanggung rugi apabila pengilang menurunkan harga secara drastik.

“Dalam keadaan kerajaan cuba memastikan harga beras tempatan kekal RM2.60 yang tidak pernah dinaikkan sejak sekian lama, semua beban seolah-olah diletakkan di bahu petani semata-mata.

“Sebenarnya harga RM2.60 itu sudah tidak relevan kerana peningkatan kos input pertanian terlalu mendadak malah negara pengeluar seperti Thailand dan Vietnam juga sudah menetapkan harga beras antara RM3.50 hingga RM3.60,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

BERBALOI

Tambahnya, satu pelan jangka panjang perlu diambil bagi menyelaraskan harga padi agar para petani dapat memperoleh pendapatan lebih berbaloi selain mengelak pengilang daripada terus bermain harga.

Kata Abdul Rashid, langkah itu juga perlu dilakukan ketika pengilang dilihat seakan tidak menghormati kerajaan untuk mereka sama-sama mengambil tanggungjawab menampung masalah kekurangan beras tempatan serta kenaikan harga beras import ketika ini.

“Sekarang ini nampaknya seolah-olah semua perkara dibuat secara cincai. Apabila kerajaan tegas mahu harga beras tempatan kekal RM2.60 sekilogram, pengilang yang tidak mahu rugi ambil langkah mudah dengan tetapkan pembelian padi pada harga rendah dan pada akhirnya petani jugalah yang pikul segala beban.

“Kalau isu ini tidak ditangani sekarang, tak mustahil petani akan terus menjadi mangsa pada musim-musim menuai akan datang. Ketika ini petani terpaksa pikul segala kos kenaikan demi memastikan rakyat membeli beras pada harga murah.

“Hasil padi kini juga kurang menjadi dan tidak ramai yang mampu menuai pada kadar tujuh metrik tan per hektar. Ditambah dengan tindakan pengilang yang mengurangkan harga pembelian, perkara sebegini menambah tekanan kepada petani,” katanya.

ADIL

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), Che Ani Mat Zain turut sependapat dan mengharapkan kerajaan serta pengilang bersikap lebih adil serta bertimbang rasa terhadap golongan petani.

“Tidak seperti China yang bagi insentif kepada petani untuk meningkatkan pengeluaran serta industri padi, kerajaan kita nampaknya secara tidak langsung galak rakyat beli beras import kerana beras tempatan sukar didapati. Ini sudah tentu memberi keuntungan kepada pihak yang mengawal industri import beras.

“Pemberian subsidi mence­cah RM400 juta bagi premis kerajaan guna beras import dilihat hanya tindakan sementara dan kerajaan tidak sensitif mengenai industri padi yang dikuasai kartel dalam setiap aspek termasuk pembajakan, input benih padi, baja, tuaian, kadar potongan berat padi, harga padi dan infrastruktur,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN