ALOR SETAR: Pelajar Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Sulaiman J. S. Abuanza yang maut ditembak tentera Israel adalah pelajar cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah sumbangannya kepada komuniti setempat.
Naib Canselor AIU, Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Aziz Tajuddin berkata, pelajar berusia 23 tahun itu dikenali sebagai seorang individu yang berkeperibadian mulia dan sangat aktif dalam setiap aktiviti dianjurkan pihak universiti.
Menurut beliau, Sulaiman antara pelajar yang diharapkan oleh AIU untuk membawa perubahan serta lebih banyak kemajuan kepada komunitinya di Palestin setelah menamatkan pengajian kelak.
“Namun takdir menentukan dia syahid di tanah airnya pada 7 Oktober lalu yang juga merupakan hari kelahirannya.
“Semasa mengikuti pengajian di AIU, dia terlibat dengan program komuniti yang kami laksanakan untuk golongan miskin di Baling dan Sik. Di dua daerah itu, kami sedang melaksanakan program untuk membantu meningkatkan tahap ekonomi golongan miskin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan hasrat Sulaiman untuk kembali ke Malaysia dari Gaza bagi meneruskan pengajiannya di AIU tidak kesampaian apabila disahkan terkorban akibat ditembak tentera Israel, dua minggu lalu.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pusat Pengajian Pengkomputeran dan Informatik AIU itu sepatutnya pulang ke Malaysia melalui sempadan Mesir pada 7 Oktober lalu, namun dia dibunuh oleh penembak tepat tentera Israel ketika melintasi satu lokasi yang berhampiran antara Gaza dan kawasan dikawal pihak berkuasa rejim zionis.
Sulaiman yang berada pada tahun kedua pengajiannya sebelum itu pulang ke kampung halaman untuk bertemu keluarganya ketika cuti semester di samping turut menjalani pembedahan lasik mata.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, Sulaiman sememangnya memiliki kepakaran dalam bidang komputer serta terlibat dalam program tertentu berkaitan teknologi komputer yang mampu membantu golongan tersebut.
“Kini kami kehilangan seorang mahasiswa yang sangat baik, bijak dan berbakat dalam bidangnya,” katanya.
Tambah beliau, pihak universiti amat berdukacita dengan pemergian Sulaiman dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham yang sedang bertarung nyawa di Palestin.
“Saya difahamkan jenazah hanya dikenal pasti selepas tiga hari dia meninggal dunia. Kami di AIU merasai kehilangannya dan Allahyarham akan diingati sebagai seorang yang sangat berkebolehan dan memiliki keperibadian baik sepanjang hayatnya,” katanya. – UTUSAN










