BENTONG: Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam mengajak semua 16,456 pengundi Pelangai untuk menilai dengan prestasi dan bukannya persepsi.
Katanya, kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mempunyai rekod dan pencapaian menerusi pelbagai inisiatif diumumkan pada selama ini.
Malah katanya, Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai bukanlah untuk menggantikan kerajaan, sebaliknya memilih seorang wakil rakyat berikutan pemergian Allahyarham Datuk Johari Harun dalam nahas pesawat, Ogos lalu.
KESINAMBUNGAN
“Insya-Allah saya akan teruskan kesinambungan usaha Allahyarham Datuk Johari yang sebelum ini membuat banyak perancangan untuk membangunkan Pelangai.
“Jika pilih wakil rakyat selain calon BN, maka sukarlah usaha beliau agar dapat diteruskan. Malah rakyat pun sukar dapat bantuan oleh ADUN yang tidak selari dengan kerajaan negeri dan Pusat,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah di Felda Sungai Kemahal di sini semalam.
PRK DUN Pelangai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu.
Pilihan raya kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru, iaitu Amizar yang dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
Ditanya perkara pertama dilakukan beliau selepas mendapat rakyat, anak kelahiran Pelangai itu berkata, beliau akan memfokuskan pembangunan tiga tanah rancangan Felda dalam Pelangai.
Selain itu, beliau komited untuk menambah baik infrastruktur kemudahan asas di samping memenuhi keperluan generasi muda.
“Bersandarkan dengan sokongan dan penerimaan rakyat bukan sahaja kepada BN tetapi kerajaan Perpaduan, saya percaya dan yakin kerusi Pelangai dapat dipertahankan dengan sokongan pengundi di sini,” katanya.
UBAH
Sementara itu, Kasim Samat menyeru pengundi Pelangai menggunakan PRK ini untuk mengubah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu menjadi lebih baik.
Beliau mengajak semua pengundi termasuk generasi muda untuk memberi peluang kepadanya demi masa depan Pelangai dan negeri Pahang.
Beliau turut berjanji melakukan perubahan di Pelangai jika rakyat memberikan mandat kepada PN setelah kawasan ini dikuasai Barisan Nasional (BN) yang gagal melakukan perancangan pembangunan.
“Berilah saya mandat sebagai wakil rakyat anda, kerana saya berjanji akan memperjuangkan isu-isu pembangunan yang masih ketinggalan berbanding kawasan lain.
“Sepatutnya kita perlu maju, tetapi Pelangai jauh ketinggalan. Maka jika PN diberikan peluang, Insya Allah saya melakukan perubahan yang terbaik untuk Pelangai,” katanya di sini.
Pilihan raya kali ini merupakan cubaan kedua Kasim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim apabila beliau sebelum ini tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Allahyarham Datuk Seri Johari Harun. Bekas guru itu ketika
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya meraih 3,260 undi dalam pertembungan empat penjuru.
Kasim yakin dan sangat positif dan berharap pengundi yang berada di DUN Pelangai terus memberi peluang kepada PN.
MANDAT
Dalam pada itu, Haslihelmy DM Zulhasli berkata, hanya anak Pelangai faham anak Pelangai dan meminta seluruh pengundi Pelangai agar memberikan mandat kepadanya dalam PRK Pelangai esok.
Beliau menggesa parti politik tidak menjadikan rakyat sebagai eksperimen demi kepentingan mereka dengan tawaran dan janji-janji manis.
“Insya-Allah, keterujaan saya untuk membawa Suara Pelangai ke dalam DUN Pahang semakin kuat.
“Marilah bersama saya untuk buktikan bahawa kepercayaan dan sokongan pengundi tidak memilih parti tetapi memilih calon yang berkemampuan untuk perjuangan rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.
Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP) itu menawarkan diri sebagai calon Bebas dalam PRK DUN Pelangai, Sabtu ini.
Dalam pada itu, Haslihelmy tidak berjanji bulan dan bintang, sebaliknya akan selesaikan masalah isu-isu setempat yang sudah tertangguh agak lama.
“Rata-rata pengundi ditemui sepakat untuk memilih calon bukan dari parti politik kerana mereka sudah muak dengan janji politik pemimpin parti yang hanya indah khabar dari rupa,” katanya. – UTUSAN










