BENTONG: Kempen DAP dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai dilakukan seolah-olah calon daripada parti itu yang bertanding.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, langkah itu bertujuan memastikan pengundi Cina khususnya penyokong setia DAP memberi sokongan sepenuhnya kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Amizar Abu Adam.
“Pimpinan DAP menyatakan sokongan kepada calon BN dan jentera kita sudah dikerahkan. Saya telah pesan kepada pimpinan negeri dan semua jentera berkempen di kawasan ini seolah-olah calonnya datang daripada DAP, semangat ini mesti kita bawa sebab apabila kita bawa semangat ini maka kita ada kepercayaan antara satu sama lain.
“Saya yakin pengundi di Telemong khususnya dan beberapa Kampung Baru yang DAP ada pengaruh akan mengalihkan sokongan kepada calon BN selepas mendengar penjelasan dan hujah kita,” katanya ketika ditemui pada Pesta Tanglung Telemong di Bilik Gerakan Kerajaan Perpaduan Kampung Telemong di sini.
Anthony berkata, formula kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang dilakukan bagi mencapai kemenangan dalam Pilihan Raya di DUN Tioman sebelum ini diteruskan di Pelangai kerana terbukti membawa kejayaan.
Katanya, pengundi DAP tidak mempunyai pilihan lain memandangkan parti itu tidak bertanding kerana berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama BN.
Justeru katanya, berdasarkan pemerhatian dan sambutan diterima dalam setiap program memperlihatkan penyokong DAP memberikan tanda positif sokongan mereka kepada calon BN.
Mengulas kemungkinan akan ada protes daripada pengundi Cina yang tidak keluar mengundi, Anthony berkata, beliau yakin pengundi kaum itu khususnya yang menetap di Pelangai keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Sabtu ini.
Katanya, jentera DAP akan terus bekerja keras dengan memfokuskan pengundi dalam kawasan ini untuk keluar mengundi dan memberikan sokongan kepada calon BN.
“Yang di luar kawasan dalam mana-mana PRK pun itu merupakan satu cabaran sebab pengundi luar biasanya PRK mereka kurang sikit balik tetapi yang penting kita galak mereka pulang. Pada masa sama pengundi yang duduk di kawasan mereka mesti keluar mengundi,” ujarnya. – UTUSAN










