Pelangai kukuh kerjasama BN-PH

(ANALISIS) Pelangai kukuh kerjasama BN-PH

AMIZAR Abu Adam bersama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan BN dan Pakatan Harapan bergambar selepas diumumkan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul. - FOTO/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERJASAMA antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang tercetus di negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu terus kukuh apabila gabungan itu menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.

Peristiwa besar kerjasama BN-PH di negeri ini dalam membina Malaysia Baharu di bawah gagasan dua parti itu bermula pada PRU15 DUN Tioman pada 7 Disember tahun lalu yang menyaksikan BN kekal mempertahankan kerusi tersebut.

DUN Pelangai mempunyai seramai 16,456 pengundi berdaftar dan hampir 75 peratus adalah pengundi Melayu manakala pengundi Cina mewakili 20 peratus, India dan masyarakat orang asli sekitar 10 peratus.

Pada PRK DUN Pelangai kelmarin, peratusan keluar mengundi 72.12 peratus yang menyaksikan BN menang majoriti 2,949 apabila memperoleh 7,324 undi manakala Perikatan Nasional (PN), 4,375.

Melihat kepada sokongan pengundi Melayu pada PRK ini, sebanyak 52.1 peratus pengundi memilih BN manakala 46.8 peratus PN. Bagi pengundi Cina pula dengan dibantu kerjasama PH, sokongan kaum itu solid kepada BN iaitu 97 peratus, PN hanya memperoleh 2.8 peratus.

Untuk kerusi di kawasan masyarakat Cina, BN menang di Telemong dengan majoriti 861 undi, Manchis (650) dan Sungai Perdak (238 undi) sekali gus menjadi penyumbang terbesar kemenangan BN di Pelangai.

Ini kerana jika dilihat undi Felda, BN hanya menang di satu daripada tiga tanah rancangan di Pelangai. Parti itu menang di Felda Chemomoi dengan majoriti 182 undi manakala tewas kepada PN di Felda Kemasul (295 undi) dan Felda Kemahal dengan majoriti tipis empat undi.

Berdasarkan keputusan PRK Pelangai kelmarin, ia menunjukkan bahawa konsep formula perpaduan yang diterjemahkan antara parti politik Melayu khususnya UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR serta melibatkan parti dominan Cina, DAP berjaya direalisasikan.

Keputusan PRK ini juga menyaksikan faktor gelombang hijau dicanang parti lawan sekali lagi berjaya dihentikan BN-PH seperti mana berlaku di Pulai dan Simpang Jeram di Johor.

Kerusi DUN Pelangai menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam, Kasim Samat (PN) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas) yang diadakan semula ekoran kematian penyandangnya dari BN, Datuk Seri Johari Harun yang terlibat nahas pesawat di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

BN mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 2,949 apabila Amizar memperoleh 7,324 undi, Kasim (4,375) dan Haslihelmy (47 undi).

Pada PRU15, Allahyarham Johari yang kali pertama bertanding mewakili BN menang di Pelangai dengan majoriti 4,048 undi.

Allahyarham menewaskan Kasim (3,260 undi); Ahmed Wafiuddin Shamsuri dari PH (2,031 undi) dan Isa Ahmad dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperoleh 65 undi.

Kini, wakil rakyat baharu Pelangai sudah pun dipilih. Jadi, cukup-cukuplah berpolitik, kini masa buat wakil rakyat yang dipilih fokus bekerja bagi membalas kepercayaan pengundi demi kemakmuran dan kestabilan di kawasan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN