Fokus sektor hiliran tingkatkan harga getah - Utusan Malaysia

Fokus sektor hiliran tingkatkan harga getah

Lebih banyak kebun getah akan dibiarkan jika harga dan isu tiada pekerja tidak diselesaikan kerajaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia (PUGBM) mengesyorkan kerajaan memberi tumpuan terhadap sektor hiliran seperti pembuatan tayar bagi meningkatkan harga getah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden PUGBM, Kameru­zaman Ab. Rahman berkata, Insentif Pengeluaran Getah (IPG) tidak mampu menyelesaikan harga getah dalam jangka masa panjang.

Menurut beliau, ketika ini Malaysia mengeksport kira-kira 90 peratus getah mentah atau dalam bentuk semi produk, misalnya dalam bentuk gred reaktor modular kecil (SMR) menyebabkan penoreh terpaksa bergantung kepada harga ditawarkan pengimport.

“Negara sudah mampu mempelbagaikan pengeluaran sendiri berasaskan getah tanpa perlu mengeksport bahan mentah tersebut dan kemudian mengimport semula barang sudah siap yang mana kita yang rugi.

“Misalnya, dalam pembuatan tayar, harganya sentiasa meningkat dari semasa ke semasa walaupun harga getah menurun kerana saban hari permintaan terhadap kenderaan dalam industri automatif kian meningkat,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, kerajaan bersetuju menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta.

Sehubungan itu, katanya, kumpulan penyelidikan dan pembangunan negara perlulah menjuruskan penciptaan produk baharu berasaskan getah.

“Dengan ini , apabila kita berjaya mengeksport produk getah yang sudah siap, barulah harga getah tempatan dapat ditingkatkan,” katanya.

Selain itu, Kameruzaman menyarankan supaya usaha lebih aktif dilakukan bagi menarik pelabur-pelabur asing untuk membangunkan kilang yang dapat memproses produk menggunakan getah, dengan bekerjasama dengan syarikat tempatan.

“Selain itu, kerajaan hendaklah tidak meminggirkan agensi-agensi yang berkaitan seperti Lembaga Getah

Malaysia misalnya, bagi membincangkan bersama langkah untuk meningkatkan pengeluaran hasil,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN