Dasar pendidikan tinggi tidak relevan dimansuh - Utusan Malaysia

Dasar pendidikan tinggi tidak relevan dimansuh

Kementerian Pendidikan Tinggi akan mengkaji dasar baharu agar lebih relevan dengan landskap dunia. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Garis panduan si­ling yuran pengajian, reka bentuk akademik selari dengan ke­perluan industri serta pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 menjadi teras kepada kajian perubahan dasar pendidikan tinggi negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Pendidikan Ting­gi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Ja­watankuasa Me­nyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) sudah mengenal pasti 58 cada­ngan penambahbaikan dengan 30 cadangan perubahan merentasi keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi yang boleh mebawa perubahan menyeluruh dalam operasi, pematuhan serta prestasi institusi dan pelajar.

Menurutnya, pelaksanaan re­formasi tersebut akan menentukan hala tuju baharu pendidikan tinggi negara yang berwibawa.

Katanya, kajian NRC antaranya mencadangkan beberapa dasar baharu, menambah baik dan memansuh dasar tidak re­levan supaya sejajar dengan aspirasi nasional dan perubahan landskap semasa dunia.

Kata beliau, NRC turut mencadangkan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 bagi membenarkan badan pelajar itu menguruskan dana untuk aktiviti-aktiviti pelajar.

“Jawatankuasa ini bertanggungjawab mengenal pasti aspek yang boleh ditanda aras daripada sistem pendidikan tinggi negara lain yang berse­suaian.

“Cadangan pindaan akta an­taranya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971; Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996; Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997; Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara (MPTN) 1996 dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

PERATURAN

“Beberapa isu turut dikenal pasti bagi tujuan penambahbaikan pendidikan tinggi seperti peraturan yang terlalu ketat, proses yang tidak cekap menyebabkan berlakunya kelewatan selain ketidakselarian antara reka bentuk akademik atau kurikulum dengan keperluan industri,” kata beliau semalam.

Katanya, terdapat tujuh ca­dangan quick wins yang kebanyakannya melibatkan in­strumen dasar dalaman kementerian yang boleh dilaksanakan serta-merta kerana tidak terlalu rumit.

Selain itu, kata beliau, sebanyak 21 inisiatif pemboleh daya iaitu cadangan yang mempunyai kesan tidak langsung ter­hadap akses, kualiti dan kemampanan kewangan serta merintis laluan bagi memperbaiki ekosistem pendidikan tinggi.

“NRC mengemukakan cada­ngan enam akta yang perlu di­pinda, sebelas dasar atau instrumen dasar yang perlu ditambah baik dan empat dasar atau pewujudan entiti baharu yang perlu diwujudkan,” kata beliau.

Mohamed Khaled berkata, antara dasar yang perlu ditambah baik ialah proses akreditasi MQA; visa dan pas pelajar antarabangsa; garis panduan siling yuran pengajian dan peruntukan perbelanjaan untuk IPTA dan TVET.

Katanya, dasar-dasar atau pewujudan entiti baharu yang dicadangkan ialah Dasar Latihan Industri Negara; Majlis Penasihat Pelaburan Kebangsaan; Pusat Inovasi Digital Negara dan Pewujudan Jawatan Ketua Pegawai Digital di Universiti Awam.

Pada masa sama, kata beliau, satu unit khusus akan diwujudkan di kementerian bagi penyelaras pusat pemantauan dan pelaporan kemajuan pelaksanaan cadangan penambahbaikan reformasi pendidikan tinggi.

“Unit yang dinamakan Unit Pengurusan Prestasi dan Pe­nyampaian Pendidikan Tinggi tersebut bertanggungjawab memberi pelaporan strategik kepada Menteri Pendidikan Tinggi,” kata beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN