BEIJING: Presiden China, Xi Jinping mengarahkan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) menghantar enam buah kapal perang ke Asia Barat, termasuk kapal pemusnah peluru berpandu berikutan ketegangan yang semakin memuncak susulan konflik berterusan antara Palestin dan Israel.
Menurut laporan South China Morning Post, antara enam kapal perang tersebut adalah kapal pemusnah peluru berpandu Zibo jenis 052D dan kapal Frigate Jingzhou.
Pasukan tentera laut China sebelum ini terlibat dalam latihan ketenteraan bersama Oman.
Pada 14 Oktober lalu, kesemua kapal perang itu meninggalkan perairan Muscat ke destinasi yang tidak didedahkan, menurut laporan media tempatan.
Tindakan itu diambil selepas Amerika Syarikat (AS) menghantar kapal perang USS Gerald R Ford yang merupakan kapal pengangkut paling canggih bersama pasukan tentera ke rantau Asia Barat.
Selain itu, beberapa negara lain turut merancang untuk menghantar kapal dan pesawat perang masing-masing seperti Britain, Jerman dan Perancis.
Tujuannya untuk membawa pulang rakyat negara mereka dari Israel.
Pada Mei lalu, Beijing pernah menghantar kapal perang ke rantau tersebut untuk membawa pulang lebih 1,000 warga China, Brazil dan Pakistan yang terkandas di kawasan konflik.
Pada 2015, kapal perang China juga memainkan peranan penting membawa keluar 225 warga asing dan rakyat China dari Yaman.
Sebelum ini, Jinping mengulangi pendirian positif China dalam mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat.
“Perkara utama ketika ini adalah melancarkan gencatan senjata bagi mengelakkan konflik daripada merebak dan menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk,” katanya. – UTUSAN










