PUTRAJAYA: Malaysia perlu lebih bersedia di masa hadapan dalam menghadapi kemunculan wabak penyakit baharu dengan meningkatkan kesiapsiagaan dan respon berdasarkan pengalaman mengendalikan pandemik Covid-19 lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pelan strategik pandemik perlu diperkukuh lagi melibatkan kerjasama dengan pihak swasta dan peringkat serantau bagi menyokong sistem kesihatan negara dan serantau.
Beliau pada masa sama mengakui ketika Covid-19 melanda tiga tahun lalu, Malaysia tidak bersedia sepenuhnya apabila terpaksa menutup hospital kepada kes-kes bukan penyakit berjangkit dan memerlukan pembedahan elektif sehingga kes-kes pembedahan terpaksa ditangguhkan mencecah hampir 60,000 kes.
Jelasnya, situasi itu adalah bukan respon yang terbaik terhadap pandemik termasuk lambat bertindak untuk mengintegrasikan kerjasama awam-swasta apabila pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan pembedahan lewat dihantar ke hospital-hospital swasta.
Bagaimanapun, katanya, hasil tindakan dan kerjasama pihak swasta dan pelbagai idea dan inmovasi diperkenalkan, Kementerian Kesihatan (KKM) kini berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 98 peratus daripada jumlah kes pembedahan tertunggak.
“Jadi berdasarkan pengalaman itu dan saya sekarang berada di sektor swasta, kita dapat memperkukuhkan kesiapsiagaan untuk respon dengan cepat dan berkesan.
“Kalau ada jangkitan sedang menular, pesakit lain masih boleh diberikan rawatan. Kes-kes bukan penyakit berjangkit boleh dihantar ke hospital swasta di peringkat awal dan bukan tangguh pembedahan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Noor Hisham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Malaysia membentangkan kaedah 5C di peringkat global bagi penyelarasan perancangan dalam meningkatkan kerjasama antarabangsa menghadapi sebarang pandemik.
Kaedah 5C itu ialah pertama collaborative surveillance iaitu saringan kolobratif untuk mengesan virus dan berkongsi maklumat bersama negara-negara lain.
Kedua, community protection iaitu pelindungan komuniti dengan kaedah amalan kesihatan awam. Kaedah Ini melindungi masyarakat melalui amalan kesihatan awam seperti kebersihan tangan, memakai pelitup muka jika ada demam, batuk dan selesema selain mengambil vaksin sebagai perlindungan dan pencegahan diri daripada dijangkiti.
Ketiga ialah clinical care yang dapat dipertingkatkan mengikut keperluan iaitu memperkukuh rawatan klinikal dengan memastikan segala peralatan perubatan mencukupi seperti katil dan bekalan oksigen di samping meningkatkan penjagaan rawatan primari individu bagi mengurangkan beban hospital.
Noor Hisham berkata, tindakan keempat ialah medical countermeasures iaitu dari segi keperluan vaksin, ubat-ubatan dan diagnostik dan peralatan perubatan lain seperti sut pakaian perlindungan diri (PPE), sarung tangan dan pelitup muka dapat diperoleh dengan mudah saksama dan segera.
“Kaedah coorperation emergency adalah terakhir yang juga amat penting apabila ada kecemasan, kita dapat menjalankan kerjasama awam, swasta dan rantau, sebagai contoh dalam usaha pembelian pukal vaksin.
“Dulu kita beli vaksin mewakili negara tunggal dengan syarikat pengeluar. Kaedah itu boleh ditambahbaik dan belajar dari negara Kesatuan Eropah (EU) yang lebih bijak, mereka melakukan perundingan pembelian vaksin secara pukal mewakili 30 negara dan mampu menawarkan harga lebih baik selain penghantaran lebih cepat.
“Diharapkan selepas ini kita boleh memperkenalkan kuasa serantau atau ASEAN untuk bekerjasama contohnya kalau Malaysia, Indonesia dan Thailand bergabung membeli vaksin dan ubat-ubatan, apabila ada 150 juta orang bergabung pastinya dapat menawarkan harga lebih murah,” katanya.
Noor Hisham yang juga Canselor Universiti Cyberjaya dan Pengerusi Kumpulan UCSI Healthcare berkata, pada masa ini Kementerian Kesihatan masih menjalankan empat tindakan walaupun pandemik Covid-19 mereda.
Ia antaranya menjalankan saringan survelan dari segi genomik untuk mengetahui jenis-jenis virus dengan membuat saringan secara rawak di pintu-pintu masuk utama negara.
Selain itu ialah meneruskan kaedah kesihatan awam untuk mencegah penyakit dengan tindakan kawalan sentiasa dilaksanakan.
Ini termasuk memberi pengajaran dan kesedaran berhubung langkah penjagaan kesihatan kepada orang awam untuk tidak mengambil lewa berhubung perkara-perkara asas menjaga kebersihan tangan dengan betul yang menjadi punca kepada jangkitan penyakit.
Pada masa sama, beliau berkata, kerajaan perlu menambah peruntukan kepada KKM untuk memperkukuhkan sistem kesihatan negara dengan memastikan kesiapsiagaan hospital dan klinik di tahap optimum supaya hospital tidak ditutup untuk semua rawatan kes bukan penyakit berjangkit apabila berlaku pandemik. – UTUSAN










