BENTONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang baharu, Datuk Amizar Abu Adam komited untuk meneruskan legasi Allahyarham Datuk Seri Johari Harun bagi membangunkan kawasan ini.
Katanya, pilihan raya sudah berakhir dan kini masa untuk beliau menjalankan tugas di atas mandat diberikan oleh pengundi Pelangai.
“Kepada penduduk Pelangai, pilihan raya sudah habis. Insya-Allah saya akan menjalankan amanah dan lebih penting meneruskan legasi Allahyarham Datuk Johari,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK N36 DUN Pelangai, Datuk Mohammad Shahid Ismail mengumumkan kemenangan Amizar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai.
Amizar yang dicabar dua calon meraih 7,324 undi manakala calon PN, Kasim Samat (4,375 undi) dan calon Bebas pula, Haslihelmy DM Zulhasli (47 undi).
PRK DUN Pelangai terpaksa diadakan ekoran kematian penyandang, Johari dalam insiden pesawat berlaku di Elmina, Shah Alam pada Ogos lalu.
Pada PRU15, Allahyarham Johari daripada BN menang majoriti 4,048 undi dalam pertembungan empat penjuru antara PN, Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air.
Dalam pada itu, Amizar merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengundi Pelangai yang telah memilih BN sebagai parti yang akan memberikan perkhidmatan di kawasan itu.
“Saya berysukur kepada Allah kerana telah memberikan kemenangan kepada Barisan Nasional dan saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya. – UTUSAN










