104 lokasi cerun sangat kritikal - Utusan Malaysia

104 lokasi cerun sangat kritikal

Batang Kali
ABATAN Mineral dan Geosainsi memantau 104 cerun di seluruh negara yang dikenal pasti sangat kritikal untuk berlaku tanah runtuh dan aliran puing menjelang musim Monsun Timur Laut November ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 104 lokasi cerun di seluruh negara dikenal pasti sangat kritikal untuk berlaku tanah runtuh dan aliran puing terutama menjelang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) bermula bulan depan.

Daripada pemantauan Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG), kesemua cerun dalam kategori berisiko tinggi terbabit perlu diberi perhatian untuk tindakan mitigasi segera bagi mengelakkan kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda jika berlaku tanah runtuh.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah JMG, Datuk Zamri Ramli berkata, pemeriksaan mendapati sebanyak 254 cerun kritikal dikesan di 31 lokasi panas di seluruh negara.

Menurut beliau, antara lokasi dikenal pasti adalah sekitar Lembah Klang; Tanjung Bungah dan Paya Terubong, Pulau Pinang; Ipoh di Perak; Cameron Highlands di Pahang; Gunung Jerai di Kedah manakala Kundasang di Sabah dan Bau di Sarawak.

“Daripada jumlah 254 cerun kritikal, sebanyak 104 lokasi cerun diklasifikasikan sebagai cerun kritikal tahap tinggi yang berpotensi berlakunya bencana tanah runtuh malah perlu dijalankan kerja-kerja pemulihan serta penyelenggaraan dalam kadar segera.

“Selebihnya 97 cerun kritikal sederhana manakala 53 lokasi cerun diklasifikasikan kritikal rendah,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

CERUN

Dalam pada itu, menurut Zamri, sebanyak 37 cerun telah diambil tindakan mitigasi oleh pihak berkaitan manakala 15 cerun sedang dalam penyelenggaraan.

Kata beliau, sebanyak 202 cerun sedang dalam perhatian untuk tindakan selanjutnya.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) atau pihak berkuasa tempatan (PBT) telah mengambil tindakan sepatutnya bagi cerun di bawah seliaan kerajaan.

“Yang menjadi isu apabila cerun membabitkan tanah persendirian atau pemaju kerana tindakan perlu diambil tuan tanah sendiri namun ada yang tidak berbuat demikian sehingga berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.

Kata beliau, mengikut rekod dari Mei 1961 hingga 26 Oktober lalu, sebanyak 6,409 kejadian tanah runtuh di seluruh negara membabitkan 602 kematian.

“Justeru, orang ramai atau pihak berkaitan perlu berwaspada dan memberi perhatian sekiranya terdapat tanda- tanda awal bagi tanah runtuh. Antaranya rekahan, tirisan air, pergerakan tanah, retakan pada struktur bangunan, air bertakung dan hakisan galur pada cerun,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan pemetaan di tujuh lokasi Taman Eko Rimba (TER) yang berpotensi berlakunya bencana aliran puing atau pergerakan tanah.

“Lokasi dikenal pasti adalah di Lata Iskandar (Perak), Sungai Tua (Selangor) (TER Sungai Tua), Jeram Toi (Negeri Sembilan), Chamang (Pahang), Lata Payung Chemerong dan Air Menderu di Terengganu.

“Ia bagi memberi cadangan mitigasi dan pemasangan sistem amaran awal aliran puing oleh PBT atau pengurusan sendiri dan mereka berkaitan supaya merancang dan kesiapsiagaan menghadapi bencana,” ujarnya.

MONSUN TIMUR LAUT

Sementara itu, menjelang November hingga awal tahun depan, negeri-negeri di pantai timur semenanjung Malaysia dan kawasan barat Sarawa akan dilanda hujan lebat susulan musim Monsun Timur Laut (MTL)..

Jurucakap MetMalaysia berkata, keadaan itu akan menyebabkan kawasan rendah dan rata berisiko untuk mengalami banjir.

“Bermula bulan November hingga Disemberi,episod hujan lebat diramal berlaku di negeri Pahang, Kelantan dan Terengganu kemudian beralih ke kawasan Johor dan Sarawak pada Disember sehinggalah Januari tahun hadapan.

“Pada bulan depan nanti, kebanyakan negeri di Semenanjung dijangkakan menerima hujan pada paras purata iaitu antara 100mm hingga 900mm.

“Di Sarawak pula, kebanyakan bahagian dijangka menerima taburan hujan pada paras purata iaitu di antara 300mm hingga 400mm,” katanya dalam kenyataan semalam.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN