PETALING JAYA: Penggunaan teknologi kod bar dan memperkasakan pintu sempadan adalah lebih murah, mudah dan efektif untuk mengekang penyeludupan berbanding menggunakan sistem kad untuk menyalurkan subsidi bersasar kepada golongan berkelayakan.
Perkara itu akan menjadi langkah terbaik yang boleh diaplikasikan kerajaan berbanding menarik subsidi menyeluruh dan memperkenalkan subsidi bersasar kepada segmen tertentu dalam kalangan masyarakat.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, punca utama ketirisan barangan bersubsidi seperti beras, minyak paket dan sebagainya memang sudah lama dikenal pasti.
Menurut beliau, ia berpunca daripada tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang menyeludup keluar barangan tersebut ke negara jiran melalui ‘jalan tikus’ di pintu sempadan negara.
“Sekarang ini sudah zaman teknologi, gunakanlah sistem kod bar pada barangan bersubsidi untuk memudahkan pemantauan bagi mengekang ia diseludup keluar. Teknologi itu lebih murah, mudah dan efektif.
“Kita sudah tahu di mana puncanya ketirisan kenapa menghukum rakyat? Perkasakanlah penguatkuasaan di sempadan supaya tidak berlaku ketirisan,” katanya yang tidak bersetuju dengan kaedah subsidi bersasar dan penggunaan kad untuk menyalurkan bantuan tersebut kepada kumpulan sasaran.
Baharom berkata, subsidi tidak boleh dianggap negatif sebaliknya adalah satu langkah untuk berkongsikan kemewahan kepada keseluruhan segmen masyarakat tanpa menyisihkan mana-mana golongan.
“Sudahlah kamu kenalkan cukai progresif kepada T20, kamu tak mahu berkongsi kemewahan negara (subsidi). Ia umpama menghukum golongan tersebut,” katanya.
Justeru, Baharom mencadangkan supaya kerajaan lebih menumpukan kepada usaha untuk mempertingkatkan hasil dan pulangan kepada negara berbanding memperkenalkan subsidi bersasar.
“Jangan sibuk buat perkara yang susah dan kompleks tumpukan untuk memajukan negara dan tambah pendapatan rakyat,” katanya. – UTUSAN











