Risalah dacing Suhaizan ‘laris’, cetak lagi 40,000

Risalah dacing Suhaizan ‘laris’, cetak lagi 40,000

SUHAIZAN KAYAT beramah mesra dengan jentera UMNO.Johor pada Majlis Himpunan Wanita Perpaduan Johor 2023 di Dewan Cerebral Palsy, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Strategi mengedar risalah calon Pakatan Harapan (PH), Suhaizan Kayat yang menggunakan logo Barisan Nasional (BN) berjaya meningkatkan kefahaman penyokong UMNO dan BN.

Suhaizan berkata, bahan kempen yang mempamerkan logo dacing itu amat membantu penyokong BN memahami bahawa dirinya adalah calon yang disokong oleh BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) walaupun logo itu tidak ada dalam kertas undi.

Katanya, sebelum ini ramai yang keliru memandangkan bahan kempen menggunakan logo PH sedangkan kempen yang dijalankan turut dihadiri jentera dan pemimpin UMNO dan BN.

“Pada awalnya kita berkempen menggunakan logo PH dan selepas itu barulah meletakkan logo dacing supaya ahli UMNO jelas selain BN adalah sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

“Kalau letak logo PH sahaja, nanti mereka tak nampak hubungan antara PH dan BN itu. Kita wujudkan warna biru di logo dacing kerana nak menggambarkan adanya muafakat di bawah kerajaan perpaduan,” katanya selepas menghadiri Majlis Himpunan Wanita Perpaduan Johor 2023 di Dewan Persatuan Cerebral Palsy, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Wanita PH, Fadhlina Sidek dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching.

Suhaizan memberitahu, 20,000 risalah yang menggunakan logo dacing itu sudah habis diedarkan hingga kini.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor itu berkata, pihaknya mencetak sebanyak 40,000 lagi risalah untuk diedarkan khusus buat penyokong tegar UMNO dan BN supaya mereka tahu siapa calon yang perlu diundi.

“Sebelum ini kita cetak 10,000 helaian risalah, namun sekejap sahaja sudah habis. Jadi, Kita perlu mencetak lagi 40,000 keping untuk diedarkan pada minggu terakhir kempen ini. Ini adalah kaedah yang cepat dan tepat untuk mengingatkan pengundi, saya kira ia adalah satu penerimaan yang baik dan melihat bahan kempen ini sebagai satu keperluan,” katanya. 

Dalam pada itu, Suhaizan berkata, jentera parti perlu menukar kepada ‘gear lima’ bagi memperhebatkan kempen termasuk memenangi hati pengundi wanita.

“Setakat ini, respons diterima amat memberangsangkan dan kini di peringkat yang makin mencabar. Jadi, Kita perlu terus semangat berkempen untuk mendapatkan sokongan tertinggi,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN