BENTONG: Sentimen penerimaan pengundi Pelangai terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat berbanding beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini sekali gus memberikan keyakinan positif mempertahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, momentum kempen semakin baik setelah melihat sambutan positif dalam kalangan rakyat kepada calon BN, Datuk Amizar Abu Adam.
Katanya, jentera BN dan parti-parti Kerajaan Perpaduan perlu bekerja keras sehingga saat akhir bagi terus meyakinkan pengundi keluar mengundi bukan sahaja demi memenangkan calon BN, tetapi meraih majoriti besar.
“Nampak momentum kempen semakin baik. Daripada pemerhatian saya sepanjang menjadi Pengarah Pilihan Raya, kalau dibandingkan PRK tempat lain, bahasa badan dan sambutan pengundi di sini amat baik sekali.
“Jadi kita berharap jentera BN dan parti Kerajaan Perpaduan terus bekerja kuat hingga saat akhir, tidak guna berceramah dan meyakinkan pengundi tetapi mereka tidak keluar mengundi. Jadi kepada pengundi, keluarlah sekejap, untuk menjalankan tanggungjawab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Sembang Santai PRK Pelangai di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Chemomoi di sini semalam.
BN mengetengahkan anak tempatan, Amizar selaku calon manakala bekas guru, Kasim Samat mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zul Hasli.
Pada masa sama, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pengundi Pelangai perlu memilih calon yang sealiran dengan kerajaan negeri dan Pusat yang dilihat menguntungkan mereka.
Katanya, penduduk Pelangai diingatkan tidak terpengaruh sentimen yang dibawa orang luar yang turun berkempen ke sini kerana akhirnya mereka akan menderita selama lima tahun.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, UMNO akan menilai kekuatan terlebih dahulu sama ada memutuskan bergerak solo atau bersama rakan kerjasama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) yang dijangka pada 2027.
Beliau berkata, parti perlu ‘ukur baju di badan sendiri’ dengan menilai kekuatan pada ketika itu.
“Matlamat adalah PRU16, ketika itu kita ukurkan nanti badan sendiri, menilai kekuatan kita pada waktu itu. Kita tidak boleh nilai sekarang.” – UTUSAN










