PETALING JAYA: Kelas peralihan masih lagi relevan kerana wujudnya sebilangan murid dari sekolah jenis kebangsaan (SJK) yang belum menguasai bahasa kebangsaan untuk meneruskan pembelajaran di sekolah menengah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, masih wujud jurang penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid sekolah kebangsaan (SK) dengan murid sekolah jenis kebangsaan (SJK).
Katanya, tidak wajar jika kelas peralihan dimansuhkan begitu sahaja jika jurang penguasaan bahasa kebangsaan masih belum berjaya dihapuskan.
“Mereka guna bahasa pengantar berbeza, jadi kelas peralihan wujud untuk murid dari sekolah Cina dan Tamil supaya mereka dapat mahir menggunakan bahasa kebangsaan di sekolah menengah.
“Sistem ini sudah begitu lama digunakan, jadi jika (dimansuhkan) tidak adil kepada murid-murid yang masih tidak mahir bahasa kebangsaan, tidak perlu mansuh kalau mereka belum pandai guna bahasa kebangsaan untuk bercakap dan menulis,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Pada masa sama, beliau menyifatkan, penggunaan bahasa kebangsaan di SJK masih tidak meluas seperti sekolah rendah kebangsaan.
“Boleh dilihat penggunaan bahasa kebangsaan di sekolah Cina dan Tamil tidak sebaik di sekolah kebangsaan kerana mereka ini belajar menggunakan bahasa Mandarin, Tamil atau bahasa lain.
“Jadi, penggunaan bahasa kebangsaan dalam mata pelajaran mungkin terhad di sekolah tersebut, sedangkan kemahiran berbahasa kebangsaan itu penting di sekolah menengah, sebab itu kelas peralihan wujud supaya murid dapat menyesuaikan diri dan setakat ini kelas itu dilaksanakan begitu baik dan amat perlu untuk murid,” katanya.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia yang mengatakan Kelas Peralihan yang diwujudkan sejak 1960 tidak lagi praktikal, merugikan masa pelajar kerana masih wujud pelajar yang gagal menguasai bahasa kebangsaan di peringkat sekolah rendah.
Dianggarkan terdapat kira-kira 2,000 Kelas Peralihan ketika ini melibatkan kira-kira 60,000 pelajar di seluruh negara. Pelajar terlibat dipilih daripada mereka yang gagal Bahasa Melayu ketika berada di sekolah jenis kebangsaan dan akan mengikuti pengajian Kelas Peralihan selama setahun sebelum beralih ke tingkatan satu.
Bagi sesi persekolahan 2023/2024, Kementerian Pendidikan memutuskan bahawa penempatan murid Tahun Enam dari sekolah SJKC dan SJKT ke tingkatan satu dan kelas peralihan di sekolah menengah kebangsaan adalah berdasarkan keputusan mata pelajaran bahasa kebangsaan dalam Ujian Akhir Sesi Akademik yang dijalankan pada awal tahun ini.
Murid Tahun Enam SJKC dan SJKT yang mencapai tahap penguasaan (TP) 3 hingga TP 6 dalam mata pelajaran Bahasa Melayu ditempatkan terus ke tingkatan satu manakala bagi murid Tahun Enam SJKC dan SJKT yang mencapai TP 1 dan TP 2 dalam mata pelajaran bahasa Melayu ditempatkan ke kelas peralihan.
Kementerian Pendidikan turut membenarkan murid yang mencapai TP2 dalam mata pelajaran bahasa Melayu dalam Ujian Akhir Sesi Akademik mengemukakan rayuan di sekolah menengah murid itu ditempatkan.
Walau bagaimanapun, murid berkenaan perlu lulus Ujian Pengesanan Literasi Bahasa Melayu (UPLBM) untuk dikecualikan daripada mengikuti kelas peralihan.
Dalam pada itu, Pengerusi Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA), Datuk R Ramanan berkata, Kementerian Pendidikan perlu memberi tumpuan kepada para pelajar kelas peralihan supaya golongan ini tidak menjadi mangsa keciciran dalam pelajaran kerana tidak menguasai bahasa Melayu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ramanan berkata, langkah itu penting bagi mengelak pelajar kelas peralihan ini tidak dapat memberi tumpuan terhadap pembelajaran sekali gus mereka akan hilang minat untuk belajar.
“Pelajar kelas peralihan masih mempunyai potensi, namun, masalah penguasaan bahasa Melayu menjadi halangan untuk mereka dan hal ini perlu dilihat di peringkat sekolah rendah.
“KPM perlu merancang dan memperkenalkan lebih banyak aktiviti yang menggunakan Bahasa Melayu di sekolah vernakular,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN










