Ahli Parlimen masih tidak fokus isu rakyat

Ahli Parlimen masih tidak fokus isu rakyat

LUKISAN yang dibeli oleh Sultan Selangor, pada April 2022 yang memaparkan suasana dalam Dewan Rakyat yang dipenuhi haiwan sebagai satu sindiran kepada ahli-ahli Parlimen yang sering bertelagah sesama sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perjalanan Dewan Rakyat sepanjang minggu lalu yang menyaksikan gelagat ahli Parlimen terus membangkitkan isu-isu remeh me­nunjukkan sikap mereka terhadap kepen­tingan sidang itu tidak banyak berubah sejak dahulu.

Walaupun Parlimen adalahplatform membangkitkan isu dan masalah rakyat, namun ada sesetengah dalam kalangan mereka mengambil peluang menyentuh isu politik tidak langsung berkisar soal ekonomi dan pembangunan.

Misalnya, mesyuarat khas Dewan Rakyat minggu lalu yang bertujuan membentang dan mem­bahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12). Namun terdapat wakil rakyat mengambil kesempatan menyentuh isu politik sehingga mencetuskan perang mulut sesama mereka.

AGENDA

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun berkata, tidak dinafikan ada ahli Parlimen yang lari daripada agenda mesyuarat, namun terdapat juga yang mengaitkan perkara tertentu ketika perbahasan yang ada kaitan de­ngan usul yang dikemukakan.

Beliau kemudian memberi contoh, aspek tatakelola dalam Kajian Separuh Penggal RMK12 diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi laluan kepada ahli Parlimen untuk membahaskan soal integriti yang berkaitan perkembangan semasa.

“Susah jika hendak minta ahli Parlimen fokus rakyat sahaja, sebaliknya mereka akan mencari jalan membangkitkan isu lain namun ia masih dalam ruang lingkup usul. Walaupun mereka patut fokus kepada usul dikemukakan, namun ada juga wakil rakyat yang membangkitkan isu lain dan menyebabkan perang mulut semasa mereka.

“Jika ini berlaku, ia bergantung kepada kebijaksanaan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan dua timbalannya untuk mengendalikan sesi Dewan Rakyat agar perjalanan Parlimen kembali terkawal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Minggu lalu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd. Noor memberi teguran kepada ahli-ahli Parlimen ditegur supaya menjaga kelakuan dan tidak menjadikan mesyuarat khas Dewan Rakyat seperti pasar borong.

Beliau memberi peringatan itu selepas beberapa ahli Parlimen bangun membangkitkan Peraturan Mesyuarat berhubung perkara yang disua­rakan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu).

HELIKOPTER

Sebelum itu, Takiyuddin semasa perbahasannya mempersoalkan penggunaan tiga heli­kop­ter oleh Perdana Menteri pada sebuah majlis di Sungai Besar, Selangor dan mendakwa ia menggunakan peruntukan besar sedangkan sebelum ini Anwar dikatakan menolak perbelanjaan baik pulih kediaman dan kereta untuk membantu golongan sasar.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) tidak berpuas hati dan mencelah meminta penjelasan berhubung perkara itu manakala Dr. Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) turut membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (6) mengenai seorang ahli Dewan tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain.

Menurut Azhar, perang mulut sesama ahli Parlimen sering menjadi tumpuan utama orang awam khususnya di media sosial meskipun ia berlangsung sekitar 10 hingga 15 minit sedangkan masih ramai wakil rakyat yang berbahas berkisar isu penting tetapi tidak menjadi perhatian.

“Dalam sehari, mungkin perang mulut berlaku tidak sampai 15 minit tetapi ia terus digembar-gemburkan mengatakan ahli Parlimen kita hilang fokus sedangkan baki lapan hingga 10 lagi, mereka juga menyentuh isu serius tetapi tidak ramai tidak tahu perkara ini,” katanya.

Ketika kewajaran Peraturan Mesyuarat dipinda, Azhar tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana ia merupakan hak keistimewaan ahli Parlimen untuk membangkitkan sebarang isu dan segalanya berbalik kepada kebijaksanaan Yang Dipertua untuk mengendalikan mesyuarat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN