KEMAMAN: Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan jentera Perikatan Nasional (PN) supaya tidak berasa selesa dengan sokongan terlalu ketara pengundi terhadap PN, sebaliknya perlu terus berusaha serta bekerja keras sehingga ke hari pengundian.
Beliau menasihatkan pengundi terutamanya penyokong PN supaya menjalankan tanggungjawab dan keluar mengundi pada 12 Ogos ini.
“Kita nak seramai mungkin pengundi keluar mengundi. Jangan ada yang kata tak payah undi, sebab dah tentunya menang. Sifat itu tak baik. Kita nak peratusan keluar mengundi lebih tinggi daripada pilihan raya sebelum ini.
“Pengundi juga diingatkan supaya meneliti manifesto yang ditawarkan parti dan itu adalah janji yang akan kita laksanakan apabila diberi mandat,” katanya ketika ditemui selepas ceramah Grand Finale di Bukit Kuang, di sini, malam semalam.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, semua calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding di enam negeri pada pilihan raya negeri (PRN) diterima baik penyokong Pas atas semangat kerjasama dalam PN.
Katanya, meskipun terdapat sedikit pergeseran pada peringkat awal di beberapa DUN, namun perkara itu telah dapat diatasi secara harmoni.
“Saya lihat sokongan Pas kepada Bersatu sangat baik dan saya dapat laporan, calon kita berpuas hati dengan pengundi Pas.
“Jentera Pas juga memberi kerjasama yang baik dan mereka membantu kita turun ke akar umbi bertemu pengundi,” katanya.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, rakyat perlu membuat penilaian mengenai prestasi kerajaan sekarang dan perlu membuat keputusan yang tepat untuk mengundi.
“Lihat apa yang kerajaan Pusat dah buat. Di situ kita tengok ada kegagalan, kelemahan dan sebagainya. Jangan kita ulang lagi. Kalau kita terpilih yang lepas, ini masanya untuk kita betulkan balik,” katanya. – UTUSAN










