PRK: Amzad yakin menang, Azan pula harap kejutan - Utusan Malaysia

PRK: Amzad yakin menang, Azan pula harap kejutan

Bahang PRN di enam negeri akan sampai kemuncak Sabtu ini. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS kempen memasuki minggu kedua Pilihan Raya Ke­cil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Ahmad Amzad Hashim dijangka dapat memenangi dengan mudah kerusi tersebut pada 12 Ogos ini.

Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi turut yakin mampu mempertahankan Parlimen itu dengan majoriti lebih besar berban­ding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu 40,907 undi.

Malah, keputusan Mahka­mah Pilihan Raya Terengganu pada 27 Jun lalu yang memba­talkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu setelah terdapat unsur rasuah ketika kempen tidak menggugat kedudukan penyandang itu menawan semula kerusi ber­kenaan.

Ini kerana, kepercayaan ahli dan penyokong PN khususnya Pas terhadap Ahmad Amzad tidak terhakis untuk kekal bertanding dalam PRK itu.

Berdasarkan kepada keputusan PRU15, jentera pilihan raya PN juga tidak perlu bekerja kuat untuk memburu kemenangan di Parlimen tersebut.

Namun, Ahmad Amzad mengakui beliau akan lebih berhati-hati dalam setiap gerak kerja sepanjang tempoh kempen bagi memastikan tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dalam pada itu, calon Pakatan Harapan (PH), Azan Ismail yang dipertaruhkan untuk mencabar Ahmad Amzad didapati berhadapan laluan sukar untuk mencabar kedudukan pesaing­nya yang lebih kukuh di Parlimen Kuala Terengganu.

MEMBANTU

Walaupun mendapat kerjasama daripada jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) dalam membantu kempen, namun Azan masih sukar mencabar kedudukan Ahmad Amzad.

Bagaimanapun, Ketua Ca­bang Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak mahu mudah mengangkat ‘bendera putih’ sebaliknya bersemangat menjalankan kempen mendekati pengundi seramai yang mampu sehingga hari pembuangan undi Sabtu ini.

Azan masih menaruh keya­kinan dapat membuat kejutan mengalahkan Ahmad Amzad kerana percaya pengundi menolak calon tersebut selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkannya setelah mendapati wujud unsur rasuah.

Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar yang terletak dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu juga tidak asing dengan kelibat Azan kerana pernah menjadi wakil rakyat di kawasan itu pada PRU14.

Malah beliau juga berpengalaman luas sebagai bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota yang dimenangi dalam PRU12.

Azan sebelum ini dilaporkan berkata, kemenangan calon PH dalam PRK itu disifatkan penting dalam memastikan sekurang-kurangnya ada seorang wakil rakyat daripada Kerajaan Perpaduan dari negeri ini.

“Kemenangan calon PH juga dapat melancarkan urusan penyelarasan antara kerajaan ne­geri dan Persekutuan,” ujarnya.

Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad mendapat 63,016 undi mengetepikan tiga lagi pencabarnya iaitu calon BN, Datuk Mohd Zubir Embong yang memperoleh 22,109 undi, calon PH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PH) mendapat 10,946 undi dan calon Pejuang, Mohamad Abu Bakar Muda mengumpul 481 undi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×