MUAR: UMNO mampu menyumbang sehingga 6,000 undi kepada calon Pakatan Harapan (PH), Ir. Nazri Abdul Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.
Ia berasaskan rekod Barisan Nasional (BN) meraih 6,062 undi di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, berbanding PH dengan 8,749 undi dan Perikatan Nasional (PN) 6,350 undi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua UMNO Bahagian Bakri, Datuk Azman Ismail berkata, keyakinan itu juga bersandarkan kepada penjelasan yang diberikan kepada pengundi mengapa perlu mengundi calon PH.
“Kita jelaskan kepada pengundi UMNO apa itu Kerajaan Perpaduan dan mengapa kita bersama PH untuk membentuk kerajaan. Lagipun, PN yang tidak setuju bentuk kerajaan bersama PH tapi kita setuju kerana kita mahukan kestabilan politik.
“Jadi, tidak ada masalah sebenarnya untuk pengundi BN beri undi kepada PH, insya-Allah kita akan dapat kekalkan 6,000 undi untuk menangkan calon Simpang Jeram,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pemimpin UMNO di DUN Simpang Jeram mendedahkan, PH berharap sekurang-kurangnya separuh undi diterima BN pada PRN Johor di kerusi berkenaan dipindahkan kepada mereka dalam PRK kali ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad berkata, Nazri memerlukan perpindahan kira-kira 4,000 undi UMNO bagi memastikan DUN itu tidak terlepas kepada PN.
Bagaimanapun, katanya, pemimpin UMNO terlibat menyatakan, permintaan tersebut disifatkan tidak logik dan mustahil memandangkan parti itu sedang berhadapan dengan pemberontakan dalaman akar umbi.
Azman berkata, beliau menganggap dakwaan Idris itu sekadar provokasi dalam kempen pilihan raya semata-mata.
“Itu hanya provokasi, biasalah orang Pas kata macam-macam, mereka pun banyak menipu dalam PRN lalu. Katanya kalau menang kerajaan akan berubah, tapi sudah kuasai tiga negeri pun kerajaan Pusat tak berubah juga.
“Orang Johor ini sifatnya sederhana kerana negeri ini pelbagai kaum, kita tidak boleh terima provokasi seperti ini,” katanya. – UTUSAN










