Kejayaan dua PRK Johor bukti sokongan PH-BN bertambah - Lim Guan Eng

Kejayaan dua PRK Johor bukti sokongan PH-BN bertambah – Lim Guan Eng

LIM Guan Eng ketika berucap pada Persidangan Tahunan DAP 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kemenangan bergaya di Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram semalam akan dijadikan landasan untuk menawan semula kawasan yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi DAP, Lim Guan Eng berkata, kemenangan itu bukan sahaja membantu mengekalkan majoriti Parlimen dua pertiga dengan kemenangan besar di Pulai tetapi menghancurkan keyakinan PN untuk memenangi Simpang Jeram.

Beliau berkata, kejayaan besar di dua PRK itu turut disokong lebih 90 peratus daripada masyarakat bukan Melayu.

“Ia juga membuktikan sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRN enam negeri yang lalu dan semalam dengan majoriti besar dalam dua PRK di Johor.

“Tentu sekali PN sebagai pakar fitnah akan memutar-belitkan kekalahan mereka sebagai suatu kemenangan kerana undi dah bertambah.

“Saya nak ingatkan PN bahawa mereka pernah sebut PRN enam negeri adalah referendum rakyat, sebaliknya PH-BN menang undi popular dengan 49.5 peratus berbanding dengan PN 49.3 peratus,” katanya ketika berucap pada Persidangan Tahunan DAP 2023, di sini hari ini.

Katanya, PH-BN juga tidak akan terikut-ikut dengan permainan kotor politik parti lawan yang memainkan sentimen kaum dan ekstremisme.

Guan Eng berkata, Kerajaan Perpaduan hari ini harus mendedahkan politik fitnah, adu domba, kebencian, momokan dan ugutan yang memecah belahkan rakyat tanpa manfaat kepada sesiapa pun.

“Jangan percaya serigala politik yang bertopengkan negarawan berprinsip atau orang muda yang mendokong politik lama dan yang penuh dengan hasad dengki semata-mata nak balas dendam.

“Ingat, rakyat sokong Kerajaan Perpaduan kerana mahu kerajaan berbilang bangsa yang berkhidmat dan jaga semua tanpa kira kaum dan agama.

“Itulah aspirasi semua rakyat daripada Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Malaysia milikan kita yang lahir di sini, besar di sini, kerja, membayar cukai, berumah tangga dan hidup di sini,” katanya.

Katanya, rakyat sokong Kerajaan Perpaduan kerana mahukan kestabilan politik demi membangunkan semula ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, kemenangan di PRK Johor semalam memberi suntikan semangat dan undian keyakinan kepada Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya