Sasar pengundi UMNO kecewa – Mahadzir - Utusan Malaysia

Sasar pengundi UMNO kecewa – Mahadzir

Ketua Bersatu Bahagian Bakri, Mahadzir Said
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

PERANAN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram kurang menyerlah dalam ceramah kelompok dianjurkan Pas, saban malam.

Bagaimanapun, Ketua Bersatu Bahagian Bakri, Mahadzir Said berkata, selaku rakan dalam Perikatan Nasional (PN), parti itu mengatur langkah strategik untuk mendekati pengundi pelbagai peringkat umur.

Kepada wartawan Utusan Malaysia, Adnan Ibrahim, Mahadzir berkongsi peranan Bersatu di Simpang Jeram dan kemampuan PN merampas kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan (PH).

 

UTUSAN: Apa peranan Bersatu membantu Pas di Simpang Jeram?

Mahadzir: Bersatu Bahagian Bakri menyokong sesiapa sahaja calon PN di DUN Simpang Jeram. Untuk itu, kami memberikan keyakinan kepada ahli jawatankuasa termasuk Srikandi, Armada dan ahli untuk terus menyokong calon diletakkan. Ini kerana mood pengundi khususnya orang Melayu semakin meningkat terutamanya selepas pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

Bagaimana cara meyakinkan pengundi atas pagar?

Kami memfokuskan ahli UMNO yang mana UMNO tidak bertanding. Kami mendekati mereka yang kecewa dengan kepemimpinan parti sehingga menyebabkan UMNO tidak bertanding di Simpang Jeram. Pengundi atas pagar sangat penting kerana ia lebih kritikal dalam memilih parti. Situasi ini memperlihatkan pengundi atas pagar khususnya orang Melayu akan lebih memihak kepada Pas berbanding Amanah.

Bagaimana pe­ngundi muda 18 tahun?

Pengundi 18 tahun telah kami dekati, lakukan secara berterusan bukan hanya pada musim pilihan raya semata-mata. Rangkaian media sosial seperti TikTok PN yang semakin mendapat tempat sangat berkesan. Kami juga menjemput Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Noor kerana beliau diminati anak muda. Selain itu, kami juga mempunyai program bersemuka dengan pengundi 18 tahun menerusi program bermotosikal, sukan futsal, hari kemerdekaan dan e-sukan.

Apakah kriteria calon men­jadi tarikan?

Antara tarikan kepada calon PN, Dr. Mohd. Mazri Yahya ialah beliau seorang profesio­nal, ahli parti berprinsip, bersih dan stabil. Isu melibatkan DAP, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sangat berkesan untuk dimainkan.

Harapan Bersatu kepada pengundi?

Saya mengharapkan pengundi Melayu keluar me­ngundi seramai mungkin kerana de­ngan cara ini akan menentukan keputusan kemena­ngan PN.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN