Peratusan keluar mengundi rendah, parti mana lebih untung? - Utusan Malaysia

Peratusan keluar mengundi rendah, parti mana lebih untung?

Daftar pemilih tambahan November 2023 diwarta hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAIN faktor pengundi Mela­yu di kerusi Dewan Undangan Nege­ri (DUN) Simpang Jeram yang merupakan majoriti berjumlah 21,005 orang atau bersamaan 51.89 peratus, peratusan keluar mengundi juga pastinya menjadi igauan buat

Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Jika sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), peratusan keluar mengundi yang rendah dilihat lebih memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) terutama semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Mela­ka serta Johor, namun senario itu sukar diramal dalam dua pilihan raya kecil (PRK), 9 September ini.

Perkara itu dilihat jelas dalam PRN di enam negeri baru-baru ini yang mana peratusan keluar mengundi di bawah 85 peratus, bukan seperti diharapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak memberi apa-apa kelebihan kepada gabungan PH-BN mahupun PN.

Sebaliknya, kedua-dua ga­bungan hanya mampu mengekalkan status quo ma­sing-masing yang mana PH-BN berjaya mengekalkan penguasaan di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan manakala PN terus memerintah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

MENGUNDI

Untuk rekod, peratusan keluar mengundi paling tinggi direkodkan di Terengganu dengan 74.79 peratus diikuti Kedah (73.86%), Pulau Pinang (72.66%), Selangor (72%), Negeri Sembilan (68.35%) dan Kelantan (60.96%).

Kebimbangan di Simpang Je­ram benar-benar menyelubu­ngi kesemua parti bertanding, ditambah pula PRK berlangsung dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas PRN diadakan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pernah menyuarakan kebimbangannya berkenaan peratusan keluar mengundi yang rendah bagi PRK DUN Simpang Jeram.
Ini kerana ramai pengundi termasuk di Parlimen Pulai be­kerja di luar kawasan, khususnya Kuala Lumpur dan Singapura.

Malah, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kini menyokong PN juga menggesa orang Melayu keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, jika tidak mahu kehilangan Tanah Melayu.

Kekhuatiran itu juga dilihat memaksa negarawan itu mengguna pakai sentimen ‘Tanah Melayu’ bagi memastikan keputusan PRK berpihak kepada pembangkang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN