MUAR: Gelombang Perikatan Nasional (PN) dijangka terus melanda Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, namun ia tidak bermakna Pakatan Harapan (PH) mengaku kalah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon PH DUN Simpang Jeram, Ir. Nazri Abdul Rahman mengakui sedar dengan situasi politik semasa, ramalan penganalisis dan dakwaan pihak lawan terhadap keputusan PRK yang didakwa tidak memihak kepadanya.
Namun, beliau tidak mahu terperangkap dalam ramalan sebaliknya menaruh kepercayaan terhadap pengundi untuk membuat pilihan sewajarnya.
“Masing-masing boleh dakwa peluang 70 peratus, peluang 50-50 cuma kami komited bekerja keras memenangi hati pengundi, pengundi pun bijak memilih calon wakil kerajaan bagi menyambung dan memastikan keselarasan kerajaan negeri dan pusat demi pembangunan kawasan.
“Ada orang dakwa dalam PRN lalu, keputusannya menjurus kepada PN tapi Johor sentimen rakyatnya berbeza, rakyatnya cerdik dan faham jadi percayalah sentimen-sentimen itu di PRK kali ini tidak berlaku,” katanya ketika ditemui.
Malah, jelasnya, beliau tidak bimbang dengan gelombang PN serta penolakan pengundi Melayu ketika ini.
“Budaya Johor dan orang Johor kaya budi bahasa, kita tolak apa-apa budaya tak elok masuk ke Johor,” katanya.
Tambah Nazri, beliau juga percaya Pas dan PN tidak akan dapat mempengaruhi pengundi Johor dengan bermodalkan isu Melayu dan agama.
“Walaupun ada sentimen Melayu dan Islam, rakyat dari segi soal keagamaan mereka lebih sikit dari negeri lain, sudah tentu rakyat lebih memahami.
“Mereka tidak terpengaruh dengan sentimen Melayu Islam, kalau tengok PRN memang ada sentimen tapi perkara itu tidak berlaku di Johor,” tegasnya.- UTUSAN










