MUKADIMAH
SANGGUP meletak jawatan sebagai Bendahari Pemuda Pas Langkawi untuk bertanding atas tiket Bebas, SAFWAN HANIF SHAFIE menyatakan jika diberi mandat oleh pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak, beliau tetap memberikan sokongan kepada Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor untuk menjadi Menteri Besar Kedah.
Kepada wartawan Utusan Malaysia NUR AMALINA AZMAN, Safwan yang bertanding menggunakan lambang cincin berkongsi faktor menyertai PRN dan matlamat perjuangan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat.
UTUSAN: Kenapa pilih bertanding Bebas dan sanggup letak jawatan dalam Pemuda Pas Langkawi?
Faktor utama disebabkan ‘pengkhianatan’. Semua orang tahu kalau ikut perjanjian, DUN Ayer Hangat akan diberikan kepada Pas. Malah, calon yang dinamakan PN juga tak menepati kemahuan orang Langkawi kerana dia orang luar.
Kami dapat maklum balas negatif daripada orang Langkawi. Sebab dia (calon PN) datang ke Langkawi tiga hari sebelum penamaan calon. Momentum untuk PN, kami yang cipta. Jadi bila kami cipta momentum dan akhirnya berlaku seperti ini, memang rasa kesal dan kecewa.
Siapa bantu dan apa pendekatan yang digunakan untuk yakinkan pengundi?
Gerak kerja dibantu oleh ahli Pas dan rakan-rakan yang bersama dengan saya. Kita tak mahu tunjuk kita terlalu yakin, tapi kita dah nampak banyak Unit Daerah Mengundi (UDM) Bebas di sekitar Ayer Hangat.
Antara pendekatan adalah kita guna media sosial. Apa agenda-agenda kita, dipromosikan dalam media sosial dan kita sentiasa melawat UDM termasuk membuat penerangan di sana.
Bagaimana penerimaan pengundi selepas seminggu?
Untuk golongan muda lebih mudah menerima, untuk golongan veteran, kita kena buat penerangan lebih sedikit. Tapi ada juga kumpulan umur itu yang boleh terima kerana melihat pemimpin sebelum ini tidak nampak perubahan dibawanya.
Kami juga tidak mahu orang luar yang semata-mata datang untuk ambil jawatan saja. Kami memerlukan seorang wakil rakyat, bukan wakil pelancong. Yang mana wakil pelancong datang ke Langkawi naik feri pukul 7 pagi, pukul 7 petang balik.
Apa perubahan yang akan dilakukan sekiranya dipilih?
Saya pertama kali nak jadi wakil rakyat kalau dipilih pengundi untuk pilihan raya ini. Sebelum pilihan raya ini pun kita lihat Langkawi agak suram daripada aktiviti anak muda. Saya cuba sedaya upaya untuk naikkan balik aktiviti-aktiviti untuk anak muda di Langkawi.
Kita akan banyakkan aktiviti sukan seperti liga-liga kampung. Modal untuk program sebegini mungkin tidak tinggi tapi kesannya besar untuk orang kampung.
Sebab program seperti ini membentuk muafakat yang secara tak langsung dapat elak anak muda terjerumus dalam masalah sosial. Kita juga akan banyakkan usrah-usrah di surau, masjid supaya anak muda lebih dekat dengan perkara bermanfaat.
Bagaimana pula dengan isu-isu pelancongan di Langkawi?
Masalah pelancongan ini berkait rapat dengan feri sebagai punca utama. Kerajaan negeri tak boleh selesai masalah ini sebab melibatkan Kementerian Pengangkutan (MOT). Saya yakin, kalau Menteri Besar boleh selesaikan masalah ini sendirian dia akan selesaikan. Tapi dia cuba untuk berurusan dengan MOT, walaupun Kedah dipimpin oleh Pas.
Jadi kalau diberi mandat, walaupun tidak selari dengan Kerajaan Persekutuan, saya tetap akan perjuangkan masalah feri dengan bawa isu ini ke MOT. – UTUSAN











