Empat lelaki diberkas curi 13 ekor lembu di Felda Sungai Koyan Satu - Utusan Malaysia

Empat lelaki diberkas curi 13 ekor lembu di Felda Sungai Koyan Satu

SEBANYAK 13 ekor lembu dan sebuah lori dirampas berikutan tangkapan empat suspek dalam kes kecurian ternakan di Kampung Paya Gunung di Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Empat lelaki berusia antara 27 hingga 48 tahun diberkas oleh polis berikutan kes kecurian lembu di sebuah kandang di Felda Sungai Koyan Satu, Jelai di sini.

Ketua Polis Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, seorang penternak, Mohd. Zameri Mohamad Nor, 37, membuat laporan di Balai Polis Sungai Koyan, semalam berikutan 13 ekor lembu miliknya yang berusia antara satu hingga tiga tahun hilang disyaki dicuri.

“Penternak itu mengesyakki lembunya dicuri selepas empat ekor ternakannya ditemukan pengsan seperti disuntik ubat pelali dan seterusnya mendapati 13 ekor lembu lagi hilang dari kandang.

“Pengadu kemudiannya meminta bantuan kenalannya disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp mencari lembunya yang hilang dan selepas itu memperoleh maklumat ada lembu yang hendak dijual di Jerantut dikurung dalam kandang di Kampung Paya Gunung berdekatan Jerantut Feri,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis di sini hari ini.

Menurut Azli, penternak itu yang mengusahakan ternakan sebanyak 228 ekor lembu sejak 20 tahun lalu mengenali lembu miliknya yang dicuri disimpan di kampung terbabit berasaskan gambar dikirimkan oleh rakannya menerusi WhatsApp.

Beliau berkata, penternak berkenaan mengenali lembu miliknya berasaskan saiz dan muka haiwan itu serta tanda khas pada telinga, iaitu kesan gunting pada atas telinga sebelah kiri dan tag yang dipasang di telinga kanan.

“Selepas mengenalpasti ternakan ini miliknya yang dianggarkan bernilai RM35,000, penternak itu segera membuat laporan polis,” katanya.

Beliau menjelaskan, pada pukul 6.30 petang semalam, sepasukan polis dari IPD Lipis menahan enam lelaki di sebuah kandang lembu di Kampung Paya Gunong yang sedang berurusan untuk menjual dan membeli lembu.

“Dalam serbuan itu, polis juga turut merampas 13 ekor lembu, sebuah lori jenis Isuzu, enam telefon bimbit serta wang tunai RM13,200.

“Siasatan awal ke atas semua individu suspek yang ditahan mendapati dua lelaki merupakan pembeli lembu, dua lagi pemilik kandang yang mempunyai pertalian keluarga, manakala dua lelaki merupakan penjual lembu curi milik pengadu,” katanya.

Selanjutnya Azli berkata, semua suspek ditahan beralamat di Kampung Paya Gunung dan Kampung Bukit Dinding di sini, manakala seorang lagi beralamat di Machang Kelantan dan kes itu diklasifikasi sebagai lain-lain curi di bawah Seksyen 379 Akta Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya