TUMPAT: Kerajaan Negeri Kelantan menyifatkan cadangan mengambil alih pengurusan Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) oleh kerajaan Pusat hanya retorik musim pilihan raya.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, pengambilalihan itu bukan mudah dan sesiapa sahaja boleh berjanji untuk berbuat demikian.
“Ketika UMNO menang di Kelantan selama 10 tahun dahulu, isu air tidak dapat diselesaikan juga,” katanya ketika ditemui semasa berkempen di Unit Daerah Mengundi (UDM) Kampung Laut di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad bahawa kerajaan Pusat tidak menolak kemungkinan mengambil alih AKSB jika masalah itu gagal diselesaikan dan tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri.
Ahmad yang juga calon Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan mendakwa, sebelum ini geran dan peruntukan diberikan kepada negeri-negeri lain tetapi tidak untuk Kelantan.
Katanya, tiada negeri di Malaysia mampu menyelesaikan sendiri masalah air tanpa bantuan kerajaan Pusat.
“Semua perkara ini sudah termaktub dalam pelbagai akta. Pada masa sama, kita juga membuat perancangan dengan kerajaan Pusat untuk tangani masalah air ini. Jika ia berjalan lancar, kita dapat mengatasi masalah air ini secara berperingkat.
“Selain itu, kita sendiri ada manifesto untuk menyelesaikan isu air ini dengan menawarkan pembangunan bekalan air bersih dengan penjenamaan semula AKSB dan menambah simpanan bekalan air melalui projek takungan air pinggiran sungai (TAPS),” ujarnya.
Terdahulu, kerajaan Pusat dilaporkan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil alih pengurusan AKSB sekiranya masalah tersebut gagal diselesaikan dan tidak mendapat kerjasama kerajaan negeri.
Nik Nazmi Nik Ahmad bagaimanapun berkata, langkah tersebut merupakan jalan terakhir dan ia masih belum sampai ke tahap berkenaan.
Menurutnya, tindakan itu boleh dilakukan Kerajaan Perpaduan berpandukan kepada Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia). – UTUSAN










