SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara 10 individu yang maut apabila sebuah jet eksekutif terhempas berdekatan kawasan perumahan Elmina, Seksyen U16, di sini, petang semalam.
Pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Langkawi, pada pukul 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang sebelum terputus hubungan dengan menara kawalan pada pukul 2.40 petang.
Selain dua juruterbang pesawat dan lima lagi penumpang, dua lagi yang terbunuh ialah seorang penunggang motosikal serta pemandu kereta yang ketika kejadian melalui kawasan terbabit.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, maklumat awal pihaknya mendapati pesawat tersebut terhempas pada 2.49 petang iaitu kira-kira dua minit sebelum ia sepatutnya mendarat di Subang.
Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, pesawat tersebut telah mendapat kebenaran daripada pihak Menara Kawalan Subang untuk mendarat.
“Bagaimanapun, pesawat itu tiba-tiba terputus hubungan sebelum dipercayai terhempas,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian, semalam.
Bagaimanapun, Hussein berkata, pihaknya setakat ini tidak dapat mengesahkan kesemua identiti mangsa.
“Kita telah ada butiran namun kita tidak boleh mendedahkan. Perlu tunggu proses forensik selesai. Kesemua mayat dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau memberitahu, kesemua mangsa berusia antara 40-an hingga 50-an.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) bernombor pendaftaran N28JV yang dikendali oleh Jetvalet Sdn. Bhd. terbabit dalam kejadian itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Kapten Norazman Mahmud berkata, hubungan pertama yang dibuat oleh pesawat dengan Menara Kawalan Trafik Udara Subang adalah pada pukul 2:47 petang dan pelepasan pendaratan diberi pada pukul 2:48 petang.
“Pada pukul 2.51 petang, Menara Kawalan Trafik Udara Subang ternampak asap yang berpunca daripada lokasi nahas tetapi tiada panggilan mayday (isyarat kecemasan) yang dibuat oleh pesawat itu.
“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan untuk menyelaraskan misi mencari dan menyelamat.
“Siasatan keselamatan akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya.
Nahas di kawasan Elmina itu dipercayai kejadian kedua membabitkan pesawat penumpang.
Pada 28 September 1977, pesawat DC 8 milik Japan Airlines (JAL) terhempas di Ladang Getah Elmina mengorbankan 33 penumpang dan anak kapal.
Dalam kejadian itu, seramai 45 daripada 79 penumpang pesawat tersebut terselamat walaupun ia dipercayai patah tiga dalam nahas tersebut.
Pesawat itu dikatakan dalam perjalanan dari Tokyo, Jepun menuju ke Singapura melalui Hong Kong dan Malaysia. – UTUSAN










