KUALA TERENGGANU: UMNO dan Pas semakin rancak menyerang antara satu sama lain menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi dengan isu-isu tempatan dan dakwaan kegagalan kepemimpinan menjadi topik utama.
UMNO mendakwa Pas gagal membawa pembangunan manakala Pas pula berkata, parti itu perlu membetulkan banyak kesilapan yang dilakukan pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa kerajaan Pas pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hanya meneruskan projek yang diusahakan BN dan tiada projek baharu dilaksanakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.
Menurut bekas Menteri Besar Terengganu itu, kegagalan itu terbukti apabila lepasan sekolah dan pusat pengajian tinggi sukar mendapat pekerjaan yang dapat menjamin masa depan mereka.
Katanya, keadaan itu menyebabkan ramai belia di negeri ini terpaksa berhijrah ke negeri-negeri lain untuk mendapat pendapatan yang lebih baik.
Malah, Ahmad menyifatkan, Terengganu bakal menjadi seperti Kelantan yang ketinggalan dalam pembangunan dan kemudahan asas sekiranya negeri itu masih kekal diterajui Pas selepas PRN ini.
Menjawab serangan Ahmad itu, Ahmad Samsuri mendakwa kerajaan BN sebelum ini banyak melaksanakan projek pembangunan yang merugikan duit rakyat dan sebahagian projek tersebut terbengkalai.
Menurutnya, selepas Pas mengambil alih negeri, kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk meneruskan semula projek-projek terbengkalai itu termasuk projek Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
“Kerajaan Pas tidak dapat melakukan projek pembangunan baharu kerana kebanyakan peruntukan tersebut dibelanjakan untuk menerus dan menyiapkan projek-projek terbengkalai yang ditinggalkan pemimpin BN sebelum ini,” ujarnya.
Dalam siri ceramahnya, Pas juga tidak ketinggalan menyentuh tentang kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa gagal menurunkan kos sara hidup apabila harga kebanyakan barangan keperluan semakin mahal dan tidak terkawal.
Justeru, Pas percaya kemenangan besar parti itu dan Perikatan Nasional (PN) di enam negeri termasuk Terengganu akan menggugat pengaruh kerajaan Pusat menjelang PRU16. – UTUSAN










