BAHANG Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan dan Kedah yang ditetapkan 12 Ogos ini kian panas.
Selain gabungan parti politik dalam Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) serta Perikanan Nasional (PN), kehadiran Parti Ikatan Demokratif Malaysia (MUDA) juga mencuri tumpuan.
Walaupun masih setahun jagung dalam kancah politik negara, namun kehadiran MUDA turut menarik perhatian pengundi, terutama golongan muda.
HASIL
Malah, percubaan MUDA kali pertama bertanding dalam PRN Johor pada tahun lalu membuahkan hasil apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa menerusi Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abdul Aziz.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Muar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) selepas memenanginya menerusi tiket Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bersama-sama dalam PH menentang BN pada PRU14.
Namun keputusan MUDA untuk bertanding atas tiket sendiri pada PRN kali ini menerima reaksi berbeza.
Ada yang menganggap langkah berani itu mampu ‘mengangkat’ imej parti tersebut, namun ada juga menyifatkan MUDA sukar menggugat sokongan terhadap gabungan BN-PH dan PN.
Seorang pemerhati politik, Prof. Datuk Dr. Kassim Thukiman mengakui penglibatan MUDA dalam PRN di enam negeri kali ini akan menghangatkan lagi bahang pilihan raya tersebut, namun bukan mudah baginya untuk menawan hati pengundi, termasuk orang muda kerana setiap parti yang sudah lama seperti UMNO, gabungan PH serta PN mempunyai sayap pemuda masing-masing.
“Saya lihat penglibatan MUDA secara bersendirian kerana kecewa tidak dilibatkan dalam struktur pentadbiran negara. Mereka mahu diiktiraf. Justeru, MUDA bertindak sebagai pembangkang dalam kerajaan perpaduan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, MUDA tidak boleh terlalu bersandarkan kemenangan di kerusi DUN Puteri Wangsa dan Parlimen Muar kerana parti itu berjaya ‘menakluk’ kawasan tersebut hasil sokongan daripada gabungan PH sebelum ini.
Selain belum cukup kuat untuk menggugat parti-parti yang lebih besar, MUDA juga tidak mempunyai struktur yang jelas di setiap bahagian dan cawangan.
“Mereka hanya bergantung dengan media sosial, terutamanya TikTok,” katanya sambil menjangkakan MUDA sukar menjuarai sesuatu isu kerana kebiasaannya dalam PRN, isu-isu yang dibangkitkan bersifat negeri dan setempat berbanding nasional. – UTUSAN










