KUALA LUMPUR: Majlis Peguam akan terus mendesak kerajaan supaya memenuhi tuntutan pindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung isu kewarganegaraan khususnya anak kepada wanita Malaysia dan pasangan warga asing yang dilahir di luar negara.
Berdasarkan rekod Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerajaan menerima 688 permohonan taraf kewarganegaraan di bawah Perkara 15(2) Perlembagaan Persekutuan bagi kes tersebut dan jumlah itu adalah daripada keseluruhan 150,000 permohonan warganegara diterima.
Desakan Majlis Peguam selaras janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin yang akan membentang pindaan Perlembagaan pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Peguam, Karen Cheah Yee Lynn berkata, kemungkinan besar kerajaan tidak cukup masa untuk membentang dan meluluskan beberapa reformasi undang-undang kerana sidang Dewan Rakyat hanya 32 hari yang akan memberi tumpuan kepada Belanjawan 2024.
Bagaimanapun, beliau berpendapat, isu kewarganegaraan lebih mustahak dan Malaysia perlu pinda undang-undang tersebut tahun ini sebelum disusuli reformasi undang-undang lain.
“Undang-undang yang tidak saksama antara jantina menghalang pemerkasaan wanita dan turut menjejas anak-anak kepada wanita terbabit.
“Penafian kewarganegaraan untuk kanak-kanak kepada ibu warga Malaysia akan menyebabkan mereka dinafikan akses kepada pelbagai institusi sosial dan hak undang-undang, termasuk pendidikan, penjagaan kesihatan, peluang pekerjaan dan keadilan,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN










