TEKAD Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bermula dengan penyenaraian 25 calon baharu yang akan dipertaruhkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Seramai 14 daripadanya merupakan calon PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang mewakili PH, manakala BN melalui UMNO menaruh harapan kepada 11 calon baharu mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Paling menjadi tumpuan adalah calon BN di DUN Jeneri, Datuk Muhamad Khizri Abu Kasim yang akan bertembung dengan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
MUDA
Muhamad Khizri, 45, merupakan antara pemimpin muda UMNO apabila memenangi jawatan Ketua Bahagian Sik pada pemilihan parti itu Mac lalu. Beliau sebelum itu merupakan Ketua Penerangan UMNO di bahagian berkenaan.
BN juga menampilkan lima calon wanita termasuk seorang daripada sayap Puteri UMNO yang kesemua mereka juga pertama kali bertanding pilihan raya. Antaranya melibatkan kawasan DUN Ayer Hangat; Anak Bukit, Pantai Merdeka; Kuala Ketil dan Bandar Baharu.
Sementara itu, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mahdzir Khalid akan mengepalai gabungan itu apabila dinamakan bertanding semula di DUN Pedu yang pernah dimenanginya sehingga diangkat menjadi Menteri Besar Kedah ke-8 pada 2008.
PH pula menamakan bekas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar di DUN Alor Mengkudu yang merupakan kerusi di peringkat negeri pertama ditandinginya sejak menyertai pilihan raya pada tahun 1990.
PKR turut mencalonkan Timbalan Pengarah Strategi PKR Kedah, Muhammad Firdaus Johari di DUN Gurun bagi menggantikan bapanya, Tan Sri Johari Abdul yang mengosongkan kerusi tersebut sebelum ini untuk dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat.
PH dan BN turut menggugurkan enam penyandang DUN yang mana empat daripadanya dari PKR serta dua lagi UMNO. Antaranya Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang); Datuk Noorsabrina Mohd. Noor (Bandar Baharu); Datuk Phahrolrazi Zawawi (Alor Mengkudu); R. Summugam (Bukit Selambau); Oii Tze Min (Bakar Arang) dan Yeoh Keng Chuan (Kulim).
Dalam pada itu, DAP mengekalkan dua penyandang mereka yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) iaitu Tan Kok Yew di Derga dan Teh Swee Leong di Kota Darul Aman. – UTUSAN










