MERBOK: Sejak dahulu hingga sekarang pendapatan isi rumah golongan pesawah tidak meningkat kerana hasil tanaman tidak produktif terutamanya yang mengerjakan sawah kurang dua hektar.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, ramai mengakui terpaksa bergantung kepada ‘orang tengah’ untuk mengusahakan tanah selain melakukan kerja-kerja sampingan demi mencari pendapatan menyara keluarga.
Khidmat orang tengah bukan sahaja sepanjang proses tanaman hingga menuai, tetapi turut membabitkan bantuan kewangan jika tiba-tiba keadaan terdesak.
Seorang pesawah, Azizan Md. Zaid, 61, dari Kampung Bujang berkata, hampir keseluruhan 1,000 pesawah yang mengerjakan kira-kira 300 hektar sawah di kawasan itu bergantung kepada orang tengah.
“Daripada benih padi, penggunaan mesin membajak, membaja dan meracun hinggalah kepada menuai hasil dan menjual semuanya bergantung kepada orang tengah berikutan mereka mempunyai kelengkapan dan peralatan mencukupi.
“Memang boleh kita upah untuk proses tabur benih, menyewa traktor dan kubota membajak tanah, tetapi, upah mereka perlu disegerakan sebaliknya jika guna orang tengah kesemua kos terbabit boleh ditolak selepas hasil padi dijual,” katanya yang mengerjakan kira-kira 15 hektar sawah.
SAWAH
Mohd. Izam Aziz, 38, yang mengerjakan kira-kira 12 hektar sawah berkata, bantuan orang tengah berlaku sejak zaman datuk mereka yang mengusahakan bendang.
“Jika tidak guna khidmat orang tengah, kami perlu bersaing menyewa sendiri jentera membajak, mesin menuai padi dan lori mengangkut hasil dengan pesawah lain dan ini tentunya merugikan tambahan lagi bagi petak sawah yang terletak jauh dari jalan utama dan berskala kecil.
“Dengan kekangan bekalan air, penyakit dan kos penggunaan baja serta racun yang tinggi menyebabkan penghasilan padi di kawasan ini tidak melebihi empat tan metrik sehektar yang menyebabkan kami perlu terus bergantung kepada orang tengah untuk hidup,” katanya.
Seorang lagi pesawah, Mohamad Fakhrul Abu Bakar, 35, berkata, dia terpaksa melakukan kerja lain untuk mencari punca kewangan kerana pendapatan bersih sebanyak RM500 sebulan bagi semusim padi yang merangkumi empat bulan tidak mencukupi.
“Harga padi sekitar RM1,200 satu tan metrik dan itu belum ditolak lagi dengan potongan sebanyak 20 peratus jika padi tidak berisi, kurang masak atau kotor.
“Pendapatan ini tidak cukup untuk menyara keluarga dan perlu bekerja sebagai nelayan atau pengawal keselamatan untuk mendapat tambahan pendapatan ketika menunggu hasil padi diperoleh,” katanya. – UTUSAN











