Peneroka dakwa masih bayar hutang

Peneroka dakwa masih bayar hutang

Sejumlah 1.6 juta generasi baharu yang meninggalkan Felda menyebabkan krisis tenaga kerja warga tempatan yang serius dalam sektor perladangan kelapa sawit.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peneroka Felda masih membayar hutang kepada agensi itu walaupun kerajaan pada 2021 bersetuju melupuskan sebahagian pinjaman mereka berjumlah RM8.3 bilion.

Mereka mendakwa, pada masa ini tiada penyata terpe­rinci tentang hutang peneroka dan jumlah potongan dibuat selepas penyelarasan itu setiap bulan.

Malah, mereka tidak jelas sama ada penghapusan se­perti dijanjikan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat atau tidak kerana hutang masih dibayar seperti biasa.

Bercakap kepada Utusan Malay­sia, Ketua Peneroka Felda Triang 1, Mat Jidi Yaakob, 62, mendakwa, pada hakikatnya, janji yang dibuat mengenai perkara itu hanya cantik atas kertas.

“Apabila peneroka menandatangani pelarasan pinjaman, kebanyakan tidak peka dengan penyata pendapatan bulanan disebabkan pelbagai faktor se­perti pandemik Covid-19 dan harga komoditi sawit melambung.

“Kini peneroka terpinga-pinga apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri mendakwa langkah melupuskan hutang peneroka tidak dibuat oleh kerajaan sebelum ini dan perkara itu berterusan sehingga beliau mengambil alih pemerintahan baharu.

“Oleh itu pendekatan paling afdal pihak Felda mengeluarkan penyata terperinci dan muktamad setiap peneroka secara individu sekali gus kita akan tahu siapa Perdana Menteri yang berkata benar,” katanya di sini semalam.

Mat Jidi berkata, sebagai perbandingan, pendapatan bulanan atas namanya pada Oktober 2021 adalah RM6,450.67, jumlah potongan RM857.29 dan memperoleh. pendapatan bersih RM5,593.38.

“Pada Februari lalu, saya memperoleh pendapatan seba­nyak RM5,198.28 ditolak poto­ngan RM2,81.95 dan baki bersih RM3,306.33, itu sahaja dijelaskan dan maklumat terperinci tentang pelupusan hutang seperti mana dijanjikan,” dakwanya.

Sementara Ketua Peneroka Felda Kenanga Jengka 7, Ahmad Zubir Abdul Rahim, 65, mengakui hutang peneroka tidak berubah walaupun mengikut janji hutang mereka akan dipotong sebanyak 80 peratus yang sudah tentu melegakan peneroka.

Jadi beliau berharap Felda segera memberikan salinan surat perjanjian pelarasan pinjaman pada 2021.

“Peneroka di sini tidak mendapat salinan surat perjanjian itu kerana pihak Felda mendakwa untuk dibawa ke ibu Pejabat Felda untuk dicop dan disemak,” katanya.

Ketua peneroka Felda Kota Gelanggi 1, Abd. Rahman Abd. Ghani, 58, berkata, isu berbang­kit ini menjadi kejutan kepada warga peneroka yang selama ini beranggapan pemotongan dijanjikan berjalan lancar.

“Peneroka pun tidak tahu sama ada pemotongan hapus hutang dibuat atau tidak. Hutang tetap dibayar walaupun BK berkurangan. Jadi saya harap maklumat terperinci diberikan Felda pada setiap bulan,” katanya.

Sementara itu di Johor, pe­neroka generasi kedua Felda Ulu Penggeli, Nurhairulliza Bachok, 39, berkata, dengan potongan yang diberikan, jumlah yang perlu dibayar hanya RM252 sebulan berbanding RM600 kadar sebenar.

“Untuk tempoh menunggu pokok baharu mengeluarkan hasil, peneroka diberikan bayaran sara hidup berjumlah RM1,500 sebulan sehingga tanaman berbuah.
“Keadaan ini menyebabkan hutang setiap peneroka mencecah ratusan ribu seorang, namun apabila pokok sudah mengeluarkan hasil hanya RM252 sebulan dibayar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Ayer Hitam, Abdul Halim A. Razak berkata, berikutan tanaman semula dilakukan bermula tahun 2019 hingga 2022, tiada bayaran hutang dilakukan oleh pihak Felda.

Di Negeri Sembilan, salah seorang peneroka Felda Jelai 3, Gemas, Shamsiah Ali, 49, berkata, dia yang sudah menjadi pene­roka lebih 20 tahun berasa lega apabila tidak perlu lagi memikirkan hutang-hutang besar seperti sara diri serta penanaman semula dan kini hanya menumpukan hutang-hutang kecil seperti baja serta racun sahaja. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×