Lebih 75 peratus calon lulus STPM

Lebih 75 peratus calon lulus STPM

stpm
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman (tengah), pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2022, di Majlis Peperiksaan Malaysia, di Kuala Lumpur hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 31,280 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding calon STPM 2021.

Ia menjadikan peratusan sebanyak 75.01 peratus (31,280 calon) pada 2022, meningkat sebanyak 1.31 peratus atau 1,120 calon iaitu daripada 73.70 peratus (30,160 calon) pada 2021.

Namun, daripada 41,701 calon yang hadir, sebanyak 99.98 peratus atau 41,694 calon layak dianugerahkan sijil STPM 2022 manakala hanya 0.02 peratus atau tujuh calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini. 

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman menjelaskan, syarat layak untuk mendapatkan sijil STPM ialah calon mesti memperoleh lulus sebahagian sekurang-kurangnya dalam satu mata pelajaran.

Katanya, syarat am bagi permohonan kemasukan ke universiti awam bagi program pengajian lepasan STPM ialah mendapat sekurang-kurangnya purata 2.00 dengan gred C dalam tiga mata pelajaran termasuk Pengajian Am.

“Secara keseluruhannya, kesemua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2022 telah mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus iaitu gred C dan ke atas,” katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM 2022 hari ini.

Beliau juga memaklumkan, bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran telah bertambah daripada 36 calon STPM 2021 kepada 38 calon dalam peperiksaan STPM 2022. 

Katanya, daripada 38 calon yang mendapat 5A ini, 26 daripadanya adalah calon kategori B40.

“Begitu juga dengan bilangan calon yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM 2022 telah bertambah daripada 860 calon pada tahun 2021 kepada 1,158 calon. 

“Pertambahan adalah sebanyak 298 calon atau 34.65 peratus daripada tahun 2021. Daripada 1,158 calon ini juga, 993 daripadanya adalah calon kategori B40,” katanya.

Dalam STPM 2022, tiga mata pelajaran menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada 2021 iaitu mata pelajaran Literature in English, Pengajian Perniagaan dan Bahasa Arab.

Tiga mata pelajaran menunjukkan penurunan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding dengan prestasi pada 2021, iaitu mata pelajaran Bahasa Cina, Kimia, dan Matematik T.

17 mata pelajaran STPM lain tidak berubah prestasinya kerana beza peratusan calon yang lulus antara 2022 dengan 2021 adalah kurang daripada 3.00 peratus. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya