Lebih 400,000 tenaga mahir Malaysia pilih berkhidmat di luar negara

Lebih 400,000 tenaga mahir Malaysia pilih berkhidmat di luar negara

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hanya dua pera­tus atau 6,368 orang daripada lebih 500,000 rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara menyertai Program Kepulangan Pakar yang dilancarkan hampir 12 tahun lalu.

Gaji lumayan dan selesa de­ngan gaya hidup di luar negara adalah antara faktor tenaga pakar berkenaan tidak berminat untuk pulang berkhidmat di tanah air.

Singapura muncul negara paling ramai pakar dari Malaysia yang dianggarkan sekitar 200,000 orang, diikuti Australia dengan 138,363 orang, Amerika Syarikat (79,827 orang), United Kingdom (37,549 orang) dan Kanada (25,690 orang), selain sekitar 10,000 pakar di beberapa negara berpendapatan tinggi seperti New Zealand, Brunei, China dan Taiwan.

Majoriti tenaga pakar tersebut terdiri daripada profesional da­lam industri seperti kewa­ngan, per­khidmatan, komunikasi, pem­­­binaan, elektrikal dan elektronik (E&E), perubatan, teknikal serta bidang minyak dan gas.

TIDAK MAMPU

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah ekonomi Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia, Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, melihat kepada jumlah tenaga pakar yang pulang itu, ternyata ­pro­­g­ram di bawah Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) sejak tahun 2011 tidak mampu menarik rakyat pulang berkhidmat di negara sendiri.

Menurut beliau, dalam tempoh hampir 12 tahun itu, program didapati hanya me­nerima sekitar 400 hingga 500 permohonan setiap tahun.

“Lebih membimbangkan apa­bila daripada 60,000 pelajar yang sedang menyambung pe­ngajian di luar negara, dikhuati­ri 50 peratus bakal memilih untuk mencari peluang pekerjaan di luar negara terlebih dahulu.

“Namun, apabila sudah mendapat kerja di negara-negara lain, kumpulan tersebut akan susah atau lambat untuk pulang semula ke Malaysia atas faktor gaji dan selesa dengan kehidupan di sana,’’ kata beliau.

Berikutan itu, kata beliau, 45 peratus keperluan tenaga kerja berkemahiran tinggi di negara ini atau sekurang-kurangnya 250,000 pakar terpaksa diisi oleh ekspatriat atau pekerja asing termasuk dari China dan India.

Abu Sofian berkata, walaupun TalentCorp mengenal pasti lima faktor yang boleh menarik minat tenaga pakar itu untuk pulang ke Malaysia iaitu keluarga, kerjaya, gaya hidup, makanan dan iklim, namun majoriti pakar tempatan itu dilihat masih belum bersedia untuk berbakti di negara sendiri.

PELUANG

Justeru, faktor lain yang ‘menghalang’ mereka pulang walaupun peluang cukup banyak di Malaysia perlu dikenal pasti segera supaya negara tidak terus kehilangan tenaga pakar di masa akan datang.

“Ini satu kerugian kepada negara terutama bagi kerajaan yang sudah berbelanja banyak melalui kemudahan biasiswa untuk pelajar tetapi lebih 400,000 ak­hirnya kekal di luar negara.

“Satu laluan kerjaya yang jelas perlu ditunjukkan kepada pelajar yang berpotensi menjadi pakar dari segi gaji permulaan, kenaikan pangkat dan sebagainya bagi mengurangkan brain drain secara menyeluruh,” katanya.

Dalam pada itu, TalentCorp sendiri menawarkan beberapa manfaat bagi menarik pakar pulang ke negara, antaranya kadar cukai 15 peratus untuk pendapatan selama lima tahun, isteri dan anak warganegara asing layak mendapat taraf penduduk tetap (PR).

Namun, kata Abu Sofian, pekerja pakar itu perlu diberikan dengan tawaran yang lebih menarik supaya mereka terge­rak untuk pulang lebih awal.

“Mereka mahu melihat penambahbaikan terhadap pentadbiran kerajaan, menambah baik sektor awam dan swasta, kos sara hidup dan gaji yang memuaskan untuk kembali ke negara ini,” katanya.

Hasil kaji selidik TalentCorp yang dilaksanakan pada awal 2021 menunjukkan 92 peratus daripada diaspora Malaysia bersedia menyumbang kepada negara dalam pelbagai kapasiti manakala kira-kira 85 peratus bersedia untuk kembali ke Malaysia pada masa hadapan.

Berikutan itu, TalentCorp memperkenalkan platform MyHeart pada Mac tahun ini bagi mengoptimumkan bakat berkemahiran tinggi Malaysia di luar negara serta membolehkan mereka menyumbang kepada pembangunan bakat tempatan melalui wacana intelektual dan seterusnya meneroka potensi kolaborasi dengan organisasi dan individu di Malaysia.

Semua pakar layak memohon Program Kepulangan Pakar dengan syarat, menetap di luar negara sekurang-kurangnya tiga tahun berturut-turut, tidak menerima sebarang sumber pendapatan dari Malaysia dan tidak mempunyai sebarang tunggakan biasiswa atau pinjaman dengan kerajaan dan agensinya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×