Isu perpaduan sentiasa ‘hidup’

Isu perpaduan sentiasa ‘hidup’

DR. Abdul Monir Yaacob dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 2023 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu perpaduan akan sentiasa ‘hidup’ selagi ada parti-parti politik berasaskan kaum di negara ini.

Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2023, Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob berkata, walaupun Malaysia mempunyai Rukun Negara, namun prinsip-prinsipnya yang sepatut menjadi kunci keharmonian rakyat berbilang kaum masih tidak dapat menyelesaikan masalah melibatkan perkara itu.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam (IKIM) berkata, isu perpaduan sudah terlalu lama diperkatakan bahkan pernah mencatatkan sejarah hitam masyarakat di negara, malah ia akan sentiasa hidup disebabkan senario politik tanah air.

“Saya lihat isu perpaduan dari sudut sebagai seorang ahli akademik, kenapa susah (ia diselesaikan), parti politik semakin bercambah jadi isu itu sentiasa akan hidup.

“Kita ada parti politik berasaskan kaum, selagi asasnya sedemikian ia akan menghempaskan semangat dia. Itu isu sebenarnya.

“Walaupun kita sudah ada Rukun Negara tetapi ia tidak menyelesaikan masalah kita,” katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, semalam.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat pada majlis itu.

Yang turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar.

Abdul Monir menjelaskan, isu perpaduan tidak akan selesai selagi ahli-ahli politik di negara ini melihat ia sebagai perkara remeh.

“Lihatlah dulu kita mengalami (peristiwa) 13 Mei, kenapa? Kerana masalah isu perpaduan tidak dijaga. Setiap orang akan keluarkan berbagai-bagai bahasa yang menyakiti orang,” katanya.

Beliau berkata, negara sudah pun merdeka dengan menjadikan kontrak sosial antara pelbagai kaum sebagai asas menuntut pembebasan (kemerdekaan), namun isu tersebut dijadikan bahan oleh parti politik untuk mendapatkan sokongan.

“Kita merdeka atas asas kontrak sosial, isu agama adalah (sosial) kontrak, mengapa dimainkan lagi. Isu hak Melayu (adalah) isu kontrak sosial, isu kerakyatan kita setuju, jadi kenapa ungkit-ungkit.

“Ini di antara perkara yang telah termaktub tetapi dijadikan isu untuk menarik orang menyokong dia. Kita harap ahli politik pelbagai kaum jangan mengipas isu perkauman, itu (masalah) akan selesai,” katanya.

Beliau turut berharap ahli politik tidak memainkan isu perkauman bagi mengelakkan berlaku perpecahan antara rakyat di negara ini.

Abdul Monir pernah diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pahang 2011 dengan pelbagai sumbangan khususnya dalam pembangunan ummah antaranya mewakili Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mengetengahkan isu banduan Islam yang menghadapi masalah menunaikan solat kerana hanya dibenarkan berpakaian baju T dan seluar pendek.

Beliau juga ketika dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keutuhan Jabatan Perdana Menteri (JPM) mencadangkan supaya polis wanita digalakkan memakai tudung.

Selain menerajui IKIM, Abdul Monir pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang; Ahli Majlis Agama Islam Selangor; Ahli Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang; Ahli Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan dan Pesuruhjaya Suhakam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×