Calon STPM 2022 catat purata gred tertinggi dalam sejarah - Utusan Malaysia

Calon STPM 2022 catat purata gred tertinggi dalam sejarah

SEBAHAGIAN pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam STPM 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Pangkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan semalam.-FOTO/KAMARUL BISMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mencatatkan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) tertinggi dalam sejarah apabila meraih 2.82 pada 2022.
Ia peningkatan 0.03 mata berbanding tahun 2021 yang merekodkan 2.79 dan 2.78 pada tahun 2020.

Peningkatan tersebut disebabkan kenaikan bilangan calon STPM 2022 dalam setiap kategori purata gred 2.00 ke atas iaitu calon meraih purata gred 3.75 ke atas sebanyak 9.59 peratus diikuti gred 3.00 ke atas (42.96 peratus), gred 2.75 ke atas (56.97 peratus) dan gred 2.00 ke atas (39.75 peratus) berbanding semua kategori itu pada tahun 2021.

Ia meliputi 1,184 calon atau 2.84 peratus meraih purata gred 4.00, peningkatan seba­nyak 310 calon berbanding 874 calon pada 2021 dengan 1,009 calon atau 85.22 peratus melibatkan mereka dalam kategori B40.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, dengan pe­ningkatan purata gred itu membolehkan lebih ramai pelajar layak melanjutkan pe­ngajian di universiti-universiti dalam dan luar negara.

Menurut beliau, pencapaian itu juga menunjukkan STPM terus memainkan peranan penting dalam menyediakan peluang pendidikan kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan memerlukan.

“Tahniah kepada semua calon dan guru STPM, kita nafikan banyak persepsi bahawa STPM sukar atau STPM hanya untuk pelajar tak dapat masuk universiti…semua ini kita sangkal bagi memastikan bahawa STPM cukup prestij dan beri ruang akses kepada anak-anak menyambung pelajaran.

“Ibu bapa juga perlu yakin bahawa STPM bukan peluang kedua tapi ini peperiksaan berprestij yang diiktiraf Cambridge. Bermakna, tak perlu menduduki A Level untuk ke luar negara kerana STPM juga diiktiraf universiti luar negara,” kata beliau ketika hadir Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2022 di Selayang semalam.

CALON

Daripada 41,701 calon yang hadir peperiksaan, sebanyak 99.98 peratus atau 41,694 calon layak dianugerahkan sijil STPM 2022 manakala hanya 0.02 peratus atau tujuh calon tidak layak mendapat sijil.

Seramai 31,280 calon mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran berbanding calon STPM 2021, menjadikan peratusan sebanyak 75.01 peratus (31,280 calon) pada 2022, meningkat seba­nyak 1.31 peratus atau 1,120 calon iaitu daripada 73.70 peratus (30,160 calon) pada 2021.

Secara keseluruhannya, ke­semua 23 mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2022 mencatatkan peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus iaitu gred C dan keatas.

Bilangan calon yang mendapat 5A dalam kelima-lima mata pelajaran bertambah daripada 36 calon STPM 2021 kepada 38 calon dalam peperiksaan STPM 2022, daripada 38 calon yang mendapat 5A ini, 26 daripada­nya adalah calon kategori B40.

Begitu juga dengan bilangan calon yang mendapat 4A dalam peperiksaan STPM 2022 telah bertambah daripada 860 calon pada 2021 kepada 1,158 calon iaitu pertambahan sebanyak 298 calon atau 34.65 peratus daripada 2021.

PRESTASI

Dalam STPM 2022, tiga mata pelajaran menunjukkan pe­ningkatan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi lulus penuh berbanding prestasi pada 2021 iaitu mata pelajaran Li­terature in English, Pengajian Perniagaan dan Bahasa Arab.

Daripada 43,687 calon STPM 2022, seramai 1,986 calon tidak hadir untuk mengambil pe­periksaan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman berkata, majoriti calon yang tidak hadir itu meliputi beberapa faktor.

“Kebanyakan calon tidak hadir disebabkan ada yang telah mendapat pekerjaan, ada juga yang menyambung pengajian ke peringkat diploma atau program lain.

“Ada juga yang sakit dan meninggal dunia jadi tidak ramai yang tidak hadir STPM,” katanya ketika mengumumkan keputusan STPM.

Secara keseluruhan, bila­ngan calon yang mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2022 adalah sebanyak 43,687 calon, meningkat seba­nyak 3.11 peratus (1,318 calon) daripada 42,369 calon yang mendaftar STPM 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×