Saya masih hidup - Basni Sabrah

Saya masih hidup – Basni Sabrah

BASNI Sabrah menunjukkan kad pengenalannya sebagai penduduk tetap negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Itu nama dan nombor kad pengenalan (merah) saya, tapi saya belum meninggal dunia,” kata pemilik sebenar penama Basni Sabrah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, lelaki berusia 64 tahun itu terkejut apabila dimaklumkan oleh anaknya yang berada di Dumai, Sumatera, Indonesia bahawa pihak kedutaan memaklumkan ‘kematiannya’ di Hospital Kajang pada 20 Mei lalu.

Lelaki dari Tembilahan, Sumatera itu berkata, terkejut dengan pemakluman itu, dia yang menetap di Jinjang, Kepong segera membuat laporan di Balai Polis Bukit Idaman untuk memaklumkan bahawa dirinya masih hidup.

“Berdasarkan dokumen diperoleh daripada pihak kedutaan dan ahli keluarga, hanya gambar pada kad pengenalan tersebut yang berbeza. Nama, alamat dan nombor tertera adalah milik saya,” katanya.

Untuk rekod, Basni berjaya dijejaki Utusan Malaysia dengan bantuan Kedutaan Indonesia.

Menurut Basni yang kini bekerja sebagai kelindan lori, dia masuk ke Malaysia sekitar tahun 1980-an sebagai tenaga kerja Indonesia (TKI) namun memperoleh status pemastautin tetap pada tahun 1984.

Jelasnya, sepanjang menetap di Malaysia, dia sudah dua kali membuat laporan polis berkaitan kehilangan kad pengenalan iaitu pada tahun Februari 2016 dan Mei 2022.

“Laporan polis dibuat kerana kad pengenalan saya tercicir dan mahu mendapatkan semula dokumen itu,” katanya.

Bagaimanapun, semakan Utusan Malaysia mendapati, pada 10 Februari 2016, laporan polis dibuat Basni adalah membabitkan keciciran permit masuk ke Malaysia manakala pada 3 Mei 2022 laporan dibuat berhubung kehilangan kad pengenalan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan bahawa jasad seorang lelaki warga emas bernama ‘Basni Sabrah’ kini masih lagi tersimpan di Unit Forensik Hospital Kajang walaupun disahkan meninggal dunia pada 12 April lalu.

Ia menimbulkan persoalan, apakah sebenarnya yang berlaku sehingga hospital ‘menahan’ jasad warga emas itu lebih 60 hari tanpa dikebumikan, namun berdasarkan prosedur Kementerian Kesihatan, proses menguruskan jasad warga asing tidak dituntut perlu mendapatkan surat kebenaran dari kedutaan negara asal si mati.

Si mati sebelum itu menghuni Pusat Jagaan Nur Hasanah, Beranang, selama empat tahun namun difahamkan pihak pengurusan pusat tersebut tidak mempunyai dokumen pengenalan dirinya melainkan salinan kad pengenalan pemastautin tetap dengan nama ‘Basni Sabrah’.

Isu tersebut menimbulkan persoalan apabila, Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono memaklumkan bahawa individu bernama Basni Sabrah sebenarnya masih hidup dan menetap di ibu negara selepas berjaya menjejaki warisnya di Sumatera.

Justeru, menurut Hermono, pihak kedutaan tiada maklumat lanjut berkaitan identiti lelaki yang meninggal dunia di Hospital Kajang itu sehingga ke hari ini.

Sementara itu, Kedutaan Indonesia tidak dapat mengeluarkan sijil kematian terhadap lelaki yang menggunakan nama Basni Sabrah yang jasadnya kini masih berada di Unit Forensik Hospital Kajang walaupun sudah disahkan meninggal dunia sejak 12 April lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Hermono berkata, sehingga kini, pihaknya langsung tidak mempunyai maklumat berkaitan identiti lelaki tersebut.

Jelasnya, kedutaan tidak boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan sijil kematian tanpa mengesahkan identiti dan kewarganegaraan seseorang individu.

“Sehingga kini, kami tidak ada maklumat siapakah dia. Kedutaan tidak boleh mengeluarkan sijil kematian jika tidak mengetahui (identiti) si mati,” katanya ketika dihubungi semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN