SHAH ALAM: Pimpinan Perikatan Nasional (PN) dijangka memuktamadkan pembahagian kerusi antara komponennya, esok bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, pimpinan pusat yang dijadualkan bermesyuarat pada 5 Jun juga akan menentukan pembahagian kerusi di negeri ini termasuk memutuskan penentuan terhadap kerusi Pelabuhan Klang yang bertindan.
“Pembahagian kerusi akan diselesaikan pada Isnin ini (esok) melibatkan semua negeri termasuk Selangor. Selepas itu, kita akan memutuskan pula calon-calon yang akan bertanding dalam PRN,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan PN menyasarkan untuk memenangi 33 kerusi di Selangor dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka bertanding 19 kawasan sementara Pas pula di 17 kawasan.
Berdasarkan, komposisi tersebut juga, gabungan itu bersetuju Selangor menjadi negeri ditadbir Bersatu sementara Pas mengekalkan kepemimpinan mereka di Kedah, Kelantan dan Terengganu, jika menang.
Dalam pada itu, Roslan memaklumkan, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu masih menjadi sandaran kepada PN untuk mencari peluang menguasai Selangor pada PRN dengan menyasarkan kerusi-kerusi majoriti Melayu.
Menurutnya, pada pilihan raya lalu, daripada 74 kerusi dimiliki PN, 42 daripadanya dimenangi Pas yang mempunyai lebih 60 peratus pengundi Melayu, kecuali Parlimen Kuala Langat (58.23 peratus).
“Kesemua kawasan yang disasarkan menang mempunyai majoriti pengundi 60 peratus ke atas termasuklah kerusi-kerusi di bandar seperti Gombak dan Shah Alam. Menang 29 sahaja pun boleh bentuk kerajaan negeri.
“Antara faktor yang menjadi ‘batu loncatan’ kepada PN seperti perseteruan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memberi cabaran kepada mereka untuk mendapatkan keyakinan daripada rakyat.
“Selain itu, sokongan daripada kekuatan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Noh Omar yang masih mempunyai pengaruh di negeri ini dengan rekodnya yang bersih juga menjadi sandaran dan kelebihan kepada PN,” jelasnya. – UTUSAN










