Pemandu dakwa permukaanjalan LPT2 beralun sejak dibuka

Pemandu dakwa permukaan jalan LPT2 beralun sejak dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pengguna mendakwa keadaan permukaan Lebuh raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang beralun berlaku sejak lebuh raya itu dibuka pada 2015 tetapi belum dapat diatasi sepenuhnya sehingga hari ini.

Kata mereka, selain itu, pengguna juga berdepan dengan keadaan yang terlalu gelap di beberapa lokasi dan ancaman binatang liar serta haiwan ternakan yang terlepas ke lebuh raya itu.

Seorang penjawat awam, Mohamad Azuan Hairil Nizam, 48, berkata, hasil pemerhatiannya mendapati, kebanyakan kemalangan di lebuh raya itu berlaku akibat pemandu hilang kawalan ketika melalui lokasi jalan beralun.

LOPAK

Menurutnya, keadaan lebih berbahaya ketika hujan apabila terdapat banyak lopak air yang boleh menyebabkan kenderaan sukar dikawal.

Bagaimanapun, katanya, faktor manusia juga tidak dinafikan merupakan penyumbang utama kemalangan apabila ada yang memandu melebihi had laju, memandu dalam keadaan mengantuk, cuai dan gagal mematuhi arahan keselamatan di sepanjang lebuh raya itu.

“Keselamatan di LPT2 perlu ditingkatkan lagi termasuk memasang lebih banyak lampu jalan untuk menerangi lokasi-lokasi yang kerap berlaku kemalangan pada waktu malam,” katanya di sini semalam.

Seorang kakitangan swasta, Nur Izzura Amira Hamdan, 39, berkata, dia pernah terlanggar sekawan lembu yang melintas di LPT2 pada waktu malam.

CEDERA

“Memang terkejut kerana dalam keadaan yang gelap ge­lita, tiba-tiba muncul sekawan lembu dan saya tidak sempat menekan brek kereta dan me­rempuh haiwan tersebut. Mujurlah saya dan ibu hanya cedera ringan, namun kos baik pulih kereta mencecah RM2,000.

“Sebelum ini, kita pernah digemparkan mengenai kemalangan LPT2 akibat terlanggar seekor harimau serta beberapa haiwan liar lain termasuk tapir,” katanya.

Seorang usahawan, Amelia Suraya Hussein, 35, pula berkata, pihak pengurusan LPT2 perlu lebih responsif terhadap aduan pengguna termasuk yang dilaporkan melalui media sosial demi keselesaan dan keselamatan mereka.

“Sebagai contoh, saya sendiri bimbang menggunakan LPT2 pada musim tengkujuh kerana terlalu banyak jalan yang berlubang mengundang bahaya, namun agak sukar untuk me­nembusi talian hotline bagi membuat aduan,” katanya.

Dalam pada itu, unsur mistik juga menjadi punca kepada beberapa kemalangan di lebuh raya itu walaupun perkara itu sukar dibuktikan.

Seorang pemandu lori yang mahu dikenali Jamaluddin, 37, dari Wakaf Mempelam, Marang mendakwa, lori yang dipandunya nyaris terbabas selepas dia terkejut melihat wanita berjubah putih berambut panjang melintas lebuh raya itu.

Menurutnya, pengalaman seram itu berlaku ketika dia dalam perjalanan dari Chukai, Kemaman ke Ajil, Hulu Terengganu kira-kira pukul 11.30 malam pada Disember tahun lalu.

Seorang pekerja swasta, Alias Ab. Aziz, 41, dari Dungun berkata, dia pernah terlibat dalam kemalangan ketika memandu kereta seorang diri berdekatan kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing LPT2 , Kemaman dekat sini.

Menurutnya, kereta yang dipandunya terbabas dan merempuh penghadang jalan selepas mengelak lembaga perempuan berjubah putih di tengah-tengah lebuh raya itu kira-kira pukul 10.30 malam, Januari lalu..

“Saya tidak menolak kemungkinan terdapat banyak kemalangan maut yang berlaku pada waktu malam atau awal pagi di LPT2 berpunca daripada gangguan makhluk halus tetapi siapa yang tidak pernah alami pasti sukar untuk percaya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN