Perikatan Nasional (PN) menaruh harapan tinggi terhadap bekas-bekas pemimpin UMNO terutama Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar untuk merampas Negeri Sembilan dan Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ini kerana, Khairy sering dianggap sebagai pemimpin muda berkaliber yang mampu menarik undi semua lapisan masyarakat, terutama selepas mempamerkan prestasi cemerlang ketika memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Kesihatan.
Noh pula dikenali sebagai pemimpin UMNO yang berpengaruh di Selangor apabila memenangi Parlimen Tanjong Karang enam penggal berturut-turut sejak 1995.
Namun, timbul persoalan sama ada kedua-dua pemimpin tersebut benar-benar mampu membantu PN meraih undi terbanyak dalam pilihan raya nanti.
POPULARITI
Di sebalik populariti Khairy, perlu diingatkan bahawa beliau baru sahaja tewas ketika bertanding di Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan majoriti 2,693 undi.
Malah, ia kekalahan pertama dalam karier politiknya selepas menyandang kerusi Rembau selama tiga penggal berturut-turut sejak 2008.
Bukan itu sahaja, Khairy mengalami penurunan undian selepas dua penggal di Rembau, apabila majoriti 18,357 undi yang diraih pada 2013 berkurangan kepada hanya majoriti 4,368 undi pada 2018.
Ini bermakna, Khairy hanya boleh meraih undian tertinggi di sekitar Rembau dan bukan di luar kawasan tersebut.
Noh pula disisihkan daripada bertanding di Tanjong Karang pada PRU15, yang pada pandangan sesetengah pihak, menjadi salah satu punca kerusi itu berjaya dirampas PN dengan majoriti 2,180 undi.
Hakikatnya, undian yang diraih Noh semakin berkurangan sepanjang menyandang kerusi Tanjong Karang apabila meraih majoriti 1,970 undi pada PRU14, majoriti terendah dalam karier politiknya.
Pemecatan kedua-dua pemimpin ini daripada UMNO menjejaskan lagi kedudukan mereka terutama sokongan akar umbi yang amat penting kerana mengambil kira peratusan keluar mengundi yang kemungkinan besar mencatatkan angka yang rendah sama seperti PRN sebelum ini.
Jika mereka dilantik sebagai calon pada PRN ini, mereka hanya mampu meraih undian daripada penyokong PN tetapi mereka sudah kehilangan undi daripada penyokong UMNO terutama di Negeri Sembilan dan Selangor, sekali gus menyukarkan misi PN untuk merampas kedua-dua negeri ini. – UTUSAN










