SHAH ALAM: Majlis Dato’ dan Datuk Malaysia (MDDM) menggesa polis menyiasat lebih 30 individu melibatkan sektor korporat, hiburan, perniagaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan gelaran Datuk palsu dan tidak diiktiraf di negara ini.
Exco MDDM, Datuk Abdul Razak Dawood berkata, pihaknya menerima lebih 15 aduan orang ramai mengenai isu berkenaan sejak awal tahun ini dan menganggap masalah tersebut semakin serius serta menimbulkan kegusaran kerana turut melibatkan kes penipuan.
“Pemerhatian kami juga mendapati individu bergelar Datuk atau Dato’ palsu itu menyalahgunakan untuk kepentingan peribadi dan sekadar suka-suka.
“Perkara itu menyalahi undang-undang sekali gus mencemar darjah kebesaran istimewa yang hanya dikurniakan oleh institusi Diraja,” katanya ketika dihubungi semalam.
Abdul Razak yang juga Timbalan Presiden Majlis Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) berkata, pihaknya telah membuat sembilan laporan polis di Balai Polis Puchong Jaya berhubung isu berkenaan semalam.
“Lapan laporan itu berkaitan lapan individu yang menggunakan gelaran palsu manakala, satu lagi laporan melibatkan lebih 20 individu yang tersenarai dalam notis awam di sebuah negeri,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya meminta polis menjalankan siasatan dan tindakan mengikut Akta Kesalahan Berkaitan Anugerah 2017 (Akta 787).
Sehubungan itu, Abdul Razak menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan di laman sesawang www.istiadat.gov.my atau portal ‘Checkmytitle’ bagi mengesahkan gelaran individu yang mengaku sebagai Datuk dan Dato’.
Pada September tahun lalu, Majlis MDDM menyerahkan butiran individu yang menggunakan gelaran dan anugerah palsu kepada polis.
Pesalah berdepan tindakan di bawah Akta 787) kerana menggunakan gelaran dan anugerah palsu atau tidak diiktiraf untuk menganjurkan acara dan aktiviti.- UTUSAN











