PETALING JAYA: Tidak realistik dalam menetapkan jangkaan 60,000 graduan ijazah Doktor Falsafah (PhD) menjadi punca sasaran itu gagal dicapai pada tahun ini.
Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi mendapati nilai kumulatif keluaran PhD dalam negara daripada 2015 hingga 2021 adalah sebanyak 17,379 orang sahaja manakala Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi 2015-2025 menyasarkan 60,000 graduan menjelang 2023.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, antara punca lain kegagalan itu adalah tiada geran penyelidikan dan penangguhan program MyBrain untuk menaja individu untuk menyambung pengajian.
PROSPEK
Katanya, tiada minat dalam kalangan belia sendiri untuk belajar sehingga tahap PhD setelah melihat prospek yang tidak memberikan impak besar kepada peluang kerjaya dan pendapatan lebih lumayan.
“Kita terlalu ghairah untuk mencapai sasaran tinggi sehingga tidak melihat sejauh mana kemampuan untuk melaksanakan hasrat ini. Sebarang sasaran perlu melihat kepada kemampuan institusi pengajian tinggi untuk melahirkan graduan PhD di samping daya pelajar untuk menghabiskan pengajian dalam tempoh ditetapkan.
“Akhirnya kita gagal untuk mencapai sasaran 60,000 graduan PhD yang sepatutnya pada tahun ini. Untuk makluman, sebelum ini kerajaan pernah menyasarkan 100,000 graduan PhD namun diturunkan kepada 60,000 orang setelah menerima maklum balas pelbagai pihak,” katanya ketika dihubungi.
Kata Raduan, kerajaan perlu mencari punca kegagalan sasaran itu dengan melihat pelbagai sudut termasuk kemampuan pelajar menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan.
Jelas beliau, terlalu ramai pelajar tidak berjaya menamatkan penyelidikan PhD dalam tempoh ditetapkan dan ada juga gagal untuk memperoleh kelulusan.
“Selain itu, tiada dana sama ada dalam bentuk tajaan biasiswa dan geran untuk menampung yuran pengajian. Ada terpaksa guna poket sendiri untuk belajar PhD, tetapi yuran jurusan ini bukan murah dan mencecah puluhan ribu ringgit.
“Kerajaan perlu mengembalikan MyBrain yang sebelum ini banyak membantu pelajar sambung pengajian,” katanya.
Mengulas prospek kerjaya lepasan PhD, Raduan memberitahu, ada graduan masih memperoleh pendapatan kurang RM3,000 walaupun berkelulusan tinggi sekali gus menyebabkan ramai pihak berpandangan belajar tinggi tidak memberikan sebarang hasil.
“Majikan dan syarikat perlu melihat perkara ini di samping peranan kerajaan juga amat penting agar graduan PhD menerima gaji setimpal,” katanya.
Sebelum ini, Institut Penyelidikan Khazanah mengeluarkan satu kajian iaitu terdapat peningkatan dalam kalangan graduan PhD yang menerima pendapatan kurang RM3,000 berbanding sedekad lalu. – UTUSAN










