LABUAN BAJO: ASEAN menyuarakan kebimbangan terhadap konflik dan keganasan berterusan di Myanmar biarpun sudah hampir dua tahun berlaku rampasan kuasa di negara itu.
ASEAN turut mengutuk serangan bersenjata terhadap konvoi diplomat yang menyampaikan bantuan kemanusiaan di negara itu, baru-baru ini.
Pemimpin ASEAN dalam satu kenyataan bersama menggesa keganasan dihentikan serta-merta.
“Ia amat penting bagi mewujudkan persekitaran kondusif agar membolehkan pengagihan bantuan kemanusiaan secara selamat dan pantas selain dialog nasional yang inklusif dapat dijalankan,” jelas kenyataan itu.
Krisis yang berlaku di Myanmar mendominasi perbincangan pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di Indonesia.
Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi pada Februari 2021, dengan tindakan keras junta terhadap perbezaan pendapat mencetuskan kekacauan sosial dan bencana ekonomi.
Blok itu kerap dikritik kerana dianggap gagal mengambil tindakan lanjut.
ASEAN pernah mengetuai usaha diplomatik untuk menyelesaikan krisis yang semakin buruk, namun gagal membendung pertumpahan darah dicetuskan oleh rampasan kuasa tentera.
Junta mengabaikan kritikan antarabangsa dan enggan terlibat dengan penentangnya, termasuk penggubal undang-undang yang digulingkan, Pasukan Pertahanan Rakyat dan kumpulan bersenjata etnik minoriti. – AFP (UTUSAN)










