Pembelaan mohon kes RM27j Najib segera dibicarakan - Utusan Malaysia

Pembelaan mohon kes RM27j Najib segera dibicarakan

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pihak pembelaan yang mewakili Datuk Seri Najib Razak memohon agar kes pengubahan wang haram RM27 juta yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu ditetapkan untuk perbicaraan secepat mungkin.

“Secara dasarnya, kami (pembelaan) tidak membantah terhadap permohonan penangguhan. Sekiranya mahkamah ingin menetapkan tarikh sebutan atau pengurusan kes pada Ogos ini, saya memohon agar tarikh bicara juga ditetapkan secepat mungkin,”katanya pada prosiding yang disebut di hadapan Hakim Muniandy Kannyappan.

Sebelum ini, kes pengubahan wang haram itu ditangguhkan sementara menunggu semakan Najib diputuskan memandangkan bukti dalam kes kedua-duanya (penyelewengan dana RM42 juta dan pengubahan wang haram RM27 juta) saling berkaitan melibatkan jejak wang yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Ashrof Adrin Kamarul memaklumkan kepada mahkamah bahawa semakan Najib berhubung kesalahan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. telah selesai.

Bagaimanapun,masih terdapat satu lagi rayuan berhubung kes SRC International membabitkan rayuan peguam kanan (QC) United Kingdom, Jonathan James Laidlaw terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonannya untuk menjadi peguam bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

RAYUAN

“Semakan telah selesai tetapi ada rayuan tertuduh (Najib) mengenai QC yang akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 10 Ogos ini. Oleh itu, saya diarahkan untuk memohon satu lagi tarikh pengurusan kes selepas tarikh pendengaran rayuan itu,”kata Mohd. Ashrof.

Hakim Muniandy selepas mendengar hujah ringkas kedua-dua pihak menetapkan 18 Ogos ini untuk pengurusan kes. Pada tarikh sama mahkamah akan menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.

Pada 3 Februari 2019, Najib mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, iaitu menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya.

Najib didakwa melakukan kesalahan terbabit di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014.

Bekas Perdana Menteri itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Seksyen itu memperuntukan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya