Pemanasan global ubah peta negara - Utusan Malaysia

Pemanasan global ubah peta negara

WALAUPUN ketulan batu diletakkan di pantai Kampung Mengabang Telipot di Kuala Nerus, Terengganu, hakisan terus berlaku dan semakin menghampiri rumah penduduk. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 1,348 kilometer (km) garis pantai di negara ini terhakis sehingga menyebabkan beberapa kawa­san tinggal hanya ‘nama dan se­jarah’ dengan pen­duduk yang terkesan sudah berpindah.

Data tersebut direkodkan National Coastal Erosion Study pada 2015 di mana terdapat beberapa kawasan hakisan pantai kini kritikal dengan kebanyakannya di Sarawak, Sabah, Johor, Perak serta Terengganu.

Seperti dilaporkan Utusan Malaysia, kawasan laut di Pantai Ban Pecah, Perak dahulu­nya merupakan kawasan sawah padi sebelum ditenggelami air laut sekitar 1960-an, dipercayai kesan pemanasan global dan cuaca ekstrem yang me­landa dunia.

Di Pekan, Pahang pula iaitu di Kampung Tanjung Batu dan Nenasi kini hanya tinggal 20 ke 40 meter (m) dari rumah ke pantai berikutan hakisan yang berlaku sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menimbulkan kebimbangan apabila 18 rumah berisiko berhadapan ancaman tersebut.

Kemungkinan jumlah tersebut kian meningkat apabila trend pemanasan global dan cuaca ekstrem ketika ini yang menyebabkan paras air laut meningkat secara bertingkat-tingkat.

KAJIAN

Sebuah data yang diperoleh Utusan Malaysia hasil kajian daripada pihak Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation pada 2017 menunjukkan kadar kenaikan paras laut di Semenanjung pada 0.67 hingga 0.71 meter dan di Sabah dan Sarawak pula 0.71 hingga 0.74 meter.

Pakar Kesihatan Persekitaran di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Juliana Jalaludin berkata, kawasan-kawasan kritikal yang berisiko mengalami hakisan dengan panjang agregat 55.4 kilometer (km) sedang makin mengundur dengan pantas iaitu pada kadar lebih dari 4 meter setahun.

“Di Malaysia, jumlah pokok bakau akan hilang dengan kenaikan sebanyak 90 sentimeter (cm) paras laut dan dengan kemusnahan kawasan-kawasan di pesisiran pantai boleh menenggelamkan 1,000 km persegi tanah pertanian.

“Jadi di sini, Malaysia akan memerlukan sekitar AS$5,750 juta bagi kos ekonomi tambahan untuk kejadian kenaikan paras laut ini menjelang tahun 2030. Di samping itu, negara akan turut kehilangan 7,000 kilo­meter persegi kawasan ta­nah dan lebih daripada 0.05 juta penduduk akan dipindahkan sekiranya kenaikan tersebut mencecah 1 meter pada 2100,” katanya ketika dihubu­ngi.

TERJEJAS

Berdasarkan kajian terbaharu oleh Nature Communications iaitu Elevation Data Triple Estimation to Sea – Level Rise and Coastal Flooding yang diperoleh Utusan Malaysia, antara negeri yang bakal terjejas adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.

Malah melalui laporan sama mendapati populasi Asia pa­ling banyak terdedah kepada kenaikan paras laut iaitu sebanyak 70 peratus di peringkat global.

Dalam pada itu, Pensyarah Ka­nan di Jabatan Alam Sekitar, Fa­kulti Perhutanan dan Alam Sekitar UPM, Dr. Abd Muhai­min Amiruddin berkata, ramalan tersebut me­rupakan jangkaan sederhana sekiranya kerajaan dan rakyat masing-masing mengambil langkah memainkan peranan.

“Paras laut akan terus meningkat, jadi apabila kita mengambil langkah-langkah intervensi perlu juga lakukan pemantauan setiap masa dan melakukan penyesuaian mengikut keadaan semasa.

“Kita tak boleh lakukan satu inisiatif lalu biarkan begitu sahaja sebab air laut sentiasa menaik dari semasa ke semasa. Kenaikan yang diramalkan itu hanya purata, perlu ingat ada faktor lain yang menyebabkan peningkatan air laut signifikan seperti air pasang besar, hujan lebat serta luruan monsun.

“Seperti di Sandakan, Sabah akhir tahun lalu. Lebih daripada 100 buah rumah perkampungan atas air musnah di­sebabkan air pasang besar, ini disebabkan semasa rumah itu dibina dahulu ia mungkin tidak mengambil kira kenaikan paras air laut maksimum yang terjadi sekarang,” katanya.

Abd Muhaimin berkata, Malaysia boleh mengambil contoh langkah-langkah diambil oleh Belanda dalam memastikan kesan daripada kenaikan paras laut dapat diminimumkan seba­nyak mungkin.,” katanya.

Abd Muhaimin berkata, Malaysia perlu mengambil langkah-langkah diambil oleh Belanda dalam memastikan kesan daripada kenaikan paras laut dapat diminimumkan sebanyak mungkin.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×