PETALING JAYA: Lambakan modul soalan ujian kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di media sosial yang boleh dibeli semurah RM20 menimbulkan persoalan pelajar yang memohon sememangnya berkualiti atau sebaliknya.
Semakan Mingguan Malaysia mendapati wujud laman web yang menawarkan jualan koleksi modul dan soalan latihan ujian Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) ke SBP dan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM).
Pesanan boleh dibuat melalui mesej peribadi atau imbasan kod QR dalam hantaran itu untuk mendapatkan set soalan pada harga RM20.
Justeru, timbul persoalan bagaimana untuk mengukur kualiti pelajar sekiranya mereka cuma fokus kepada soalan latih tubi, sedangkan mereka tidak dikategorikan cemerlang akademik.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, perubahan minda perlu supaya mereka bukan semata-mata mahu lulus peperiksaan.
Katanya, perkara itu bergantung kepada kesediaan pelajar atau sekadar mahu lulus semata-mata.
“Sikap pendidik pula bukan hanya sasar untuk mendapatkan kelulusan peperiksaan, sebab saya khuatir (jika ya), maka saya khuatir nanti adanya tumpuan kepada soalan terpilih, bukan memikirkan memberi ilmu kepada pelajar.
“Kita boleh lihat seperti pelajar habis peperiksaan buang buku, ini melambangkan sikap untuk peperiksaan semata dan bukan untuk peradaban kehidupan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Minggu lepas, akhbar ini melaporkan, kualiti pelajar SBP dan MRSM selepas pemansuhan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR) untuk ke tingkatan satu dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dipertikai.
Mereka tidak diuji menerusi peperiksaan utama seperti UPSR untuk ke tingkatan satu dan PT3 untuk ke tingkatan empat kerana kemasukan ke sekolah khusus bergantung kepada ujian khas.
Soalan pula cenderung menguji kesesuaian pelajar tinggal di asrama dan bersifat kognitif.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon juga bimbang murid akan fokus 100 peratus kepada ujian kemasukan itu, tetapi apabila lulus, mereka sebenarnya tidak berkualiti.
Sementara itu, Mohamad Ali berkata, Kementerian Pendidikan perlu memperhalusi semula kaedah pemilihan pelajar ke sekolah berasrama penuh kerana ia mengundang persoalan.
Katanya, PIBGN mengharapkan piawaian standard untuk semua dan bukan berdasarkan ujian tertentu yang merangkumi penilaian pendek.
“Setelah diambil, perlu penilaian sejauh mana nilai tambah, motivasi dan dorongan diusahakan. Kalau sudah terpilih, tetapi tidak ada nilai tambah, maka tidak berlaku peningkatan kualiti,” ujarnya. – UTUSAN










