Lelaki hilang ditemukan lemas dalam parit

Lelaki hilang ditemukan lemas dalam parit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selama beberapa jam selepas keluar dari rumahnya ditemukan mati di dalam parit di Jalan Pondok Terusan, Pasir Tumboh di sini tengah malam tadi.

Mayat Wan Harun Wan Hassan, 34, ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam parit itu oleh orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah malam.

Adik mangsa, Norhapizah Rosli 27, berkata, abangnya, Wan Harun Wan Hassan, 34, tidak pulang ke rumah selepas azan magrib semalam selepas pergi beriadah di kawasan sebuah pondok pengajian di kampung ini.

Menurutnya, bimbang dengan keadaan tersebut, ibunya, Ahsan Pie Che Mohd.Hussin, 63, keluar mencari mangsa, namun pulang hampa apabila tidak dapat menjejaki abangnya itu.

“Abang saya tiada masalah kesihatan, namun hanya menghidap gastrik. Pada awal pagi tadi, saya dihubungi oleh seorang penduduk kampung yang menghantar gambar mayat abang melalui aplikasi WhatsApp.

“Kami sekeluarga terus bergegas ke kawasan parit itu. Semasa anggota bomba mengeluarkan mayat abang, saya lihat ada kesan luka pada tangannya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di Kampung Pondok Terusan, Limbat di sini hari ini.

Norhapizah memberitahu, bagaimanapun, dia dan keluarga tidak mahu membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan mayat abangnya dan menyerahkan segala siasatan kepada pihak polis.

Katanya, arwah juga merupakan seorang yang hafiz al-Quran dan tidak pernah tinggal solat.

“Ibu saya sebenarnya hairan kerana arwah tidak pernah memakai seluar pendek semasa keluar rumah sebelum pergi ke kawasan pondok. Semasa mayatnya ditemui, dia memakai seluar pendek,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Juhari Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat seorang lelaki di dalam parit kira-kira pukul 2.27 pagi tadi.

Katanya, lapan anggota bomba termasuk pegawai bergegas ke lokasi kejadian untuk mengeluarkan mayat dari kawasan terbabit.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya