KUALA TERENGGANU: Kementerian Kerja Raya (KKR) akan mempertimbangkan permohonan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) untuk kerajaan mengehadkan atau membekukan sementara pemberian lesen baharu.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, rungutan dan permasalahan yang disuarakan oleh PKMM itu memang ada asasnya kerana persaingan dalam kalangan pemain industri pembinaan sedia ada sudah terlalu banyak.
Menurutnya, permohonan itu adalah antara cadangan Presiden PKMM, Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan mewakili golongan kontraktor.
“Saya akan bawa cadangan permohonan ini ke Kabinet kerana ia (pemberian lesen kontraktor baharu) adalah dia bawah kementerian saya (melalui Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan).
“KKR akan buat kertas cadangan untuk dibangkitkan dalam kabinet dan kalau kita nak buat perkara ni, tak perlu bawa ke Parlimen, cuma kalau ada dibangkitkan oleh mana-mana Ahli Parlimen, barulah kita jawab dalam dewan.
“Rungutan ini saya akan bawa ke pihak atasan kerana ia adalah suara akar umbi yang penting untuk memperkukuh kerajaan Madani dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti mendengar rintihan seperti ini supaya boleh mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agong Tahunan PKMM Negeri Terengganu, di sini, semalam.
Sebelum ini, Mingguan Malaysia melaporkan kebimbangan PKMM mengenai lambakan kontraktor pelbagai kelas yang diluluskan CIDB kerana ia seolah-olah menyempitkan lagi periuk nasi pemain industri pembinaan di negara ini.
Bulan lalu, jumlah keseluruhan kontraktor kelas G1 hingga G7 bertambah lebih sekali ganda apabila mencatatkan 136,000 lesen baharu dan sedia ada berbanding 60,000 lesen pada 2019.
Ditanya mengenai langkah diambil kerajaan untuk membantu golongan berkenaan yang kini semakin tertekan dengan kenaikan harga barang pembinaan seperti simen pula, Abdul Rahman berkata, kerajaan telah menggantikan Jadual Kadar Harga sedia ada untuk melegakan beban kewangan kontraktor.
“Jadual Kadar Harga sedia ada sudah tidak relevan dengan situasi semasa malah ia juga akan menjejaskan projek-projek kecil yang dilaksanakan (disebabkan lonjakan kenaikan harga barangan pembinaan).
“Oleh itu, Jadual Kadar Kerja baharu telah dikuatkuasakan Mac lalu. Contohnya dulu rumah PPRT (Projek Perumahan Rakyat Termiskin) dibina dengan kos RM60,000 kini dinaikkan kepada RM75,000,” ujarnya. – UTUSAN










