Kebakaran Ittifaqiyah dilakukan lebih seorang - Utusan Malaysia

Kebakaran Ittifaqiyah dilakukan lebih seorang

PEMUDA yang dibebaskan daripada tuduhan membunuh 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah (kiri) hadir di Mahkamah Rayuan Putrajaya semalam.– UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam diberitahu, mustahil kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat di ibu negara dilakukan seorang individu berdasarkan penemuan dua tong gas di tingkat atas asrama pusat tahfiz itu, enam tahun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah, tong gas tersebut masing-masing seberat 14 kilogram tidak mungkin mampu diangkat secara berseorangan dari tingkat bawah melalui tangga.

Hujah beliau, satu tong gas diletakkan secara menegak dan satu lagi melintang sebelum petrol disimbah di hadapan pintu.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama yang terbakar.

Mahkamah sedang mende­ngar rayuan penama pertama yang didapati bersalah membunuh kesemua mangsa manakala pihak pendakwaaan merayu terhadap pembebasan rakannya yang dinamakan sebagai penama kedua.

Masing-masing ketika kejadian berusia 16 tahun, kini berumur 22 tahun.
Hujah May Ling lagi, wujud keterangan bahawa penama kedua menghisap ganja bersama beberapa individu lain sebelum kebakaran berlaku membuktikan niat bersama mereka.

MEMBELA DIRI

Sehubungan itu, pihak pendakwaan berhujah agar penama kedua dipanggil membela diri terhadap pertuduhan tersebut.

Pada prosiding rayuan 9 Mac lalu, May Ling berhujah, pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan ikut keadaan melalui seorang penghuni pusat tahfiz itu yang melihat kepulan asap ketika terjaga awal pagi hari kejadian.

Hujah beliau, meskipun tidak dapat mengesahkan waktu kejadian, saksi berusia 17 tahun itu menyaksikan asap manakala api ketika itu belum kelihatan.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili kedua-dua pemuda tersebut berhujah, tiada pengecaman positif berkaitan anak-anak guamnya yang boleh dikaitkan dengan kejadian tersebut.

Pembelaan menghujahkan, tiada keterangan yang menunjukkan kedua-duanya memasuki pusat tahfiz berkenaan sebelum kebakaran berlaku.

TIADA

Hujah beliau walaupun wujud perbualan ‘bila nak bakar tahfiz’, namun tiada keterangan yang menunjukkan responden kedua terlibat dalam perbualan itu.

Pada perbicaraan lalu, salah seorang saksi pendakwaan menyatakan dia, tertuduh pertama dan beberapa rakan lain berkumpul di sebuah warung pada pukul 2.38 pagi sebelum mendengar seseorang bertanya ‘bila nak bakar tahfiz?’ namun tidak dapat mengenal pasti pemilik suara berkenaan.

Pada 9 Mac lalu, Haijan berhujah, tiada saksi mata yang menyaksikan rentetan kejadian kebakaran di Darul Quran Ittifaqiyah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun menetapkan 14 Julai ini bagi keputusan kes.

Mahkamah mendengar rayuan penama pertama yang didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi membunuh kesemua mangsa dan juga rayuan pendakwaan terhadap keputusan hakim sama yang membebaskan penama kedua.

Pada 28 Januari 2020, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan penama kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan dihadapinya.

Pada 17 Ogos 2020, Hakim Datuk Azman Abdullah bagaima­napun mendapati penama pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong kerana perayu yang ketika itu berusia 16 tahun merupakan pesalah kanak-kanak.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN